10 June 2009

Permohonan Tingkat Kemudahan Tangkap Ikan Ahli Pengasah Tidak Dilayan

KOTA KINABALU: Persatuan Nelayan Negeri Sabah (Pengasah) yang dianggotai 15,000 nelayan Bumiputera, kecewa dengan tindakan kerajaan negeri yang didakwa meminggirkan persatuan itu sehingga ahlinya gagal menerima kemudahan untuk meningkatkan sosioekonomi kerana terpaksa mengekalkan operasi secara tradisi.

Pengerusinya, Madrah Talih, mendakwa jabatan, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kerajaan negeri dalam bidang perikanan tidak memberi pertimbangan terhadap permohonan persatuan itu untuk meningkatkan infrastruktur penangkapan ikan dan pelbagai kemudahan diperlukan ahlinya di seluruh negeri.

"Majoriti ahli kami adalah nelayan kecil hidup miskin yang memerlukan kemudahan seperti subsidi sampan, pukat, petrol dan penyediaan jeti pendaratan ikan yang sempurna.

"Malangnya, permohonan kami tidak mendapat perhatian kerajaan negeri sehingga kami berasa Pengasah dianaktirikan.

"Kerajaan negeri juga tidak meluluskan permohonan kami menjadi pembekal subsidi diesel (e-diesel) dan petrol (e-petrol) kepada nelayan di seluruh negeri hingga ramai anggota kami gagal memanfaatkan kemudahan itu.

"Ini tidak adil kepada nelayan terutama nelayan kecil Bumiputera yang beroperasi di pesisir pantai menggunakan sampan," katanya selepas perasmian mesyuarat agung tahunan Pengasah yang disempurnakan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Abdul Rahim Ismail, kelmarin.

Madrah berkata, nelayan kecil sepatutnya dibantu bagi memastikan mereka bebas daripada status Ketua Isi Rumah Miskin Tegar (KIRMT) yang disasarkan kerajaan negeri.

Katanya, Pengasah menyokong kenyataan Abdul Rahim bahawa perniagaan diesel dan petrol layak ditadbir urus Pengasah berikutan kelemahan Koperasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (Ko-Nelayan) mengurusnya sehingga ramai nelayan tidak mendapat kemudahan itu, terutama nelayan kecil Bumiputera hidup miskin yang beroperasi di pesisir pantai.

"Walaupun e-diesel dan e-petrol diperkenalkan pada 1 Jun 2006, ramai nelayan belum menikmatinya selain kekerapan kehabisan bekalan minyak.

"Mungkin ada pihak tertentu menyeleweng kemudahan itu dengan menjualnya kepada pihak industri dan ini perlu disiasat segera kerana tindakan mereka merugikan nelayan kecil.

"Kami memberi jaminan, ahli yang menjual semula diesel dan petrol kepada pihak industri akan dikenakan tindakan termasuk menghantar senarai nama mereka kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna untuk tindakan lanjut. Bagaimanapun, sehingga kini tiada yang dikesan berbuat demikian," katanya.

Madrah berkata, nelayan kecil pesisir pantai turut berdepan masalah kekurangan tangkapan akibat tindakan pemilik kapal pukat tunda beroperasi di pesisir pantai dan kegiatan pengeboman ikan yang merosakkan terumbu karang sehingga kekurangan ikan.

"Kami harap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mempergiatkan operasi memburu kapal pukat tunda yang beroperasi di pesisir pantai bagi memastikan nelayan kecil tidak kehilangan sumber pendapatan," katanya.

No comments:

Post a Comment