21 June 2009

Kerajaan Belum Cadang Kaji Keputusan Kekalkan Ko-Nelayan Jual E-Diesel

KOTA KINABALU, 9 Jun (Bernama) -- Kerajaan Sabah belum bercadang mengkaji semula keputusannya untuk mengekalkan Koperasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (Ko-Nelayan) sebagai pembekal tunggal penjualan diesel bersubsidi kepada nelayan di negeri itu.


Timbalan Ketua Menteri Datuk Yahya Hussin sebaliknya mahu semua pihak menerima baik keputusan kerajan yang dibuat sebelum ini.

Menurutnya kabinet negeri telah mengambil kira semua faktor, termasuk rayuan Persatuan Nelayan Sabah (Pengasah) sebelum membuat keputusan itu.

Katanya langkah itu perlu bagi menjaga kepentingan Ko-Nelayan sebagai agensi kerajaan negeri yang diberi tanggungjawab mengedar diesel bersubsidi kepada nelayan di negeri ini sejak 2001.

"Saya fikir keputusan itu amat jelas dan tidak perlu lagi saya menyatakannya berulang-ulang kali," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian kedai "Fish-Mart" dan kenderaan bergerak "Mobile Fish/Shrimp On Wheel" di Wisma Pertaniaan, dekat sini hari ini.

Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri berkata demikian ketika diminta mengulas rayuan terbaru Pengasah supaya kerajaan negeri memberikan peranan kepada persatuan itu mengendalikan penjualan dan pengedaran e-diesel di Sabah.

Ketika membuat rayuan itu minggu lepas, pengerusi Pengasah Madrah Talih berkata persatuan itu wajar diberi peranan atau turut serta dalam urusan penjualan dan pengedaran e-diesel seperti di Semenanjung dan Sarawak. Penjualan e-diesel di Semenanjung diurus oleh Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) manakala di Sarawak pula oleh Persatuan Nelayan Negeri Sarawak.

Yahya berkata apa juga keuntungan yang diperoleh oleh Ko-Nelayan daripada operasi penjualan e-diesel itu akan disalurkan semula kepada para nelayan dalam pelbagai bentuk, termasuk bantuan peralatan menangkap ikan.

"Tiada nelayan yang dipinggirkan, malah Ko-Nelayan akan terus membantu dan membela nasib para nelayan tempatan," katanya sambil berkata bahawa terdapat sekitar 20,000 nelayan yang beroperasi di perairan Sabah.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment