07 July 2009

Ko-Nelayan Perkenalkan Lori "Cold Truck" Tingkat Jualan Air Batu

KOTA KINABALU, 26 Jun (Bernama) -- Koperasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (Ko-Nelayan) melangkah setapak lagi dalam perkhidmatan jualan air batu kepada nelayan dan peniaga dengan memperkenalkan Program Lori "Cold Truck". Pengerusinya Datuk Samsudin Yahya berkata kemudahan itu menawarkan perkhidmatan bekalan air batu berkualiti secara terus kepada pengguna yang membuat tempahan.


Beliau berkata sebagai permulaan, perkhidmatan itu meliputi kawasan sekitar Beaufort, Sipitang, Kuala Penyu dan Lawas (Sarawak). Air batu berkualiti itu dihasilkan oleh Kompleks Mini Ko-Nelayan Sipitang (KMKS), katanya.


"Perkhidmatan baru ini akan dikembangkan ke Kompleks-kompleks Ko-Nelayan di lain-lain daerah seperti Kompleks Ko-Nelayan Lahad Datu, Kompleks Perikanan Ko-Nelayan (KPK) Kudat dan KPK Kuala Penyu," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan kunci lori "Cold Truck" kepada Penguasa KMKS, Encik Jamaih Kassim, di tempat letak kereta Wisma Pertanian Sabah, dekat sini Jumaat.


Majlis ringkas itu turut disaksikan oleh Pengurus Besar Ko-Nelayan, Masood Salleh dan pegawai kanan korporasi tersebut. Samsudin berkata bagi mengembangkan lagi perniagaan jualan air batu, Ko-Nelayan merancang membeli mesin pembuat ais kiub dan tiub, di samping loji mesin air batu tambahan (kapasiti pengeluaran 100 blok) bagi memenuhi keperluan nelayan dan peniaga di kawasan sasaran seperti Kuala Penyu, Sipitang, Beaufort dan Lawas.Katanya perkhidmatan itu akan memberi kemudahan kepada para nelayan untuk mendapatkan bekalan air batu pada masa yang telah ditetapkan, di samping membantu mereka menjimatkan masa dan kos untuk mendapatkan bekalan.-- BERNAMA

04 July 2009

MASA DEPAN NELAYAN PESISIR PANTAI




Teluk Darvel merupakan tempat mencari rezeki bagi nelayan pesisir pantai yang tinggal di tiga daerah di pantai timur negeri Sabah sejak zaman sebelum merdeka lagi.terletak diantara Lahad datu, Kunak dan Semporna. Nelayan di tiga daerah ini menikmati hasil tangkapan yang memuaskan. Tahun 90-an kapal-kapal pukat jerut mula membanjari Teluk Darvel, ratusan tan ikan ditangkap setiap hari. Kapal-kapal ini bukan milik orang tempatan dan para pemilik kapal tidak mematuhi jarak minimum operasi pukat jerut dari tepi pantai.



Kawasan yang sepatutnya khas untuk nelayan pesisir pantai dan bot-bot kecil telah diceroboh dengan tiada batasan. Akibatnya, ramai nelayan kecil terjejas teruk. ini boleh dilihat dari penurunan pendapatan yang amat ketara dari tahun ke tahun.



Banyak usaha-usaha kerajaan untuk membantu golongan nelayan yang disalurkan melalui Jabatan Perikanan, LKIM, KO-Nelayan dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar. Setakat ini, kita belum melihat keberkesanannya untuk meningkatkan pendapatan para nelayan.


Perancangan yang teliti amatlah perlu dan pemantauan projek hendaklah dijalankan. Contohnya, projek sangkar ikan dan rumpai laut KPLB yang disalurkan melalui pejabat daerah. Projek ini adalah projek berkelompok bernilai RM 160,000.00 setiap kumpulan. setiap kumpulan diwakili 10 peserta. Adakah ke 10 ahli ini diberi tahu semasa penyerahan projek? bagaimana nelayan tahu nama mereka tersenarai dalam kumpulan tersebut?


Banyak lagi persoalan dan keraguan mengenai projek-projek yang disalurkan untuk nelayan. kami nelayan meletak harapan yang besar sekiranya ada pihak yang boleh mengatur Jabatan Perikanan , LKIM, KO-nelayan dan KPLB untuk mengadakan dialog dengan nelayan 4 bulan sekali. Masalah nelayan pesisir pantai di Kunak perlu diambil perhatian yang serius oleh semua.


Pemberian bot dan alat menangkap ikan secara percuma oleh kerajaan tidak dapat menyelesaikan masalah, jika mereka masih menangkap ikan di kawasan yang sama sebelum ini. Nelayan kecil di Kunak hanya ada dua pilihan:



  • Mengikuti program transformasi nelayan- 3 hingga 5 nelayan kecil bergabung untuk mendapat pinjaman sehingga RM 350,000.00 . Tujuan dana ini adalah untuk membina bot yang besar dan dilengkapi dengan peralatan moden. Dengan ini nelayan boleh bersaing dengan bot-bot besar.

  • Mengusahakan sangkar ikan -para nelayan perlu dorongan dan bimbingan dari semua pihak.Bantuan perlulah jelas dan menyeluruh untuk satu pusingan. contohnya; modal tetap dan modal pusingan. hasil dari projek mestilah dari RM1000-RM2000/nelayan/bulan. Nelayan akan menunjukkan komitmen jika projek mendatangkan hasil. nelayan tidak harus dipersalahkan setiap kali projek gagal.Kenapa penternak swasta boleh berjaya dan kebayakan projek kerajaan untuk nelayan gagal? kita perlu cari puncanya....

01 July 2009

PERANAN DAN PENGLIBATAN AHLI PERSATUAN NELAYAN





1. KUASA TERTINGGI



Kuasa tertinggi di dalam hal-ehwal sesuatu persatuan nelayan ialah mesyuarat agung ahli-ahli atau wakil-wakil ahli yang diadakan sekurang-kurangnya setahun sekali bagi MERANCANG, MEMBERI MANDAT, MEMBUAT DASAR DAN KETETAPAN, MENILAI serta MENELITI akan perkembangan dan prestasi sesuatu Persatuan Nelayan itu, disamping menentukan arahtuju, matlamat dan perjalanan Persatuan yang dianggotai.



2. KUASA MESYUARAT AGUNG


Mesyuarat Agung mempunyai kuasa-kuasa sepertimana yang diperuntukan dibawah Peraturan 34(2) Peraturan-Peraturan Persatuan Nelayan 1972.



3. MANDAT MESYUARAT AGUNG


Setiap keputusan, ketetapan dasar dan mandat Mesyuarat Agung akan diambil tindakan susulan oleh Lembaga Pengarah yang telah diberikan amanah oleh ahli-ahli untuk melaksanakannya dengan dibantu oleh pihak pengurusan yang CEKAP dan TERLATIH.



4. KEJAYAAN MATLAMAT PENUBUHAN PERSATUAN NELAYAN


Walaubagaimana pun kejayaan atau kegagalan sesuatu Persatuan Nelayan itu banyak bergantung di atas sokongan, komitmen, peranan dan sumbangan ahli-ahlinya di dalam setiap program serta aktiviti yang dijalankan.


Ahli-ahli be rperanan keatas setiap perlaksanaan yang telah dirancang serta diputuskan oleh Mesyuarat Agung dan dilaksanakan oleh Lembaga Pengarah itu demi kepentingan dan faedah bersama.


Sehubungan dengan ini, sewajarnya setiap ahli atau anggota sesuatu Persatuan Nelayan memainkan peranan dengan menunaikan tugas dan tanggung jawab mereka dengan sempurna bagi memastikan kejayaan Persatuan Nelayan, selaras dengan tujuan dan matlamat penubuhannya.



TUGAS DAN TANGGUNGJAWAB AHLI PERSATUAN NELAYAN


1. menyertai dan mengambil bahagian secara aktif di dalam kegiatan pergerakan Persatuan Nelayan dengan memegang jawatan-jawatan yang dipilih di dalam Mesyuarat Agung;


2. penyertaan secara aktif di dalam aktiviti yang dijalankan oleh Persatuan Nelayan, dengan hasrat atau demi memenuhi keperluan dan kepentingan bersama selaras dengan matlamat untuk meningkatkan kepentingan taraf sosial ekonomi masyarakat nelayan amnya dan ahli-ahli Persatuan Nelayan khasnya;


3. mengunakan setiap kemudahan atau perkhidmatan yang disediakan atau yang akan dilaksanakan oleh Persatuan Nelayan;


4. MENGAMBIL TINDAKAN SEWAJARNYA ATAU DIRASAKAN PERLU BAGI TUJUAN MENGHINDARI DARIPADA BERLAKUNYA PENYELEWENGAN, SALAH LAKU ATAU SALAH GUNA KUASA DI DALAM PERJALANAN PERSATUAN NELAYAN;


5. mengemukakan pendapat atau cadangan yang membina untuk kebaikan bersama untuk kepentingan ahli dan persatuan;


6. Menjaga hubungan baik serta perpaduan sesama ahli;


7. Tidak melakukan sesuatu perkara atau perbuatan yang boleh menjatuhkan atau memburukkan nama baik Persatuan Nelayan;


8. Akur serta patuh kepada kehendak dan keputusan ramai atau majoriti;


9. Tidak mengadakan atau mewujudkan sebarang bentuk pertandingan atau persaingan dengan Persatuan;


10. mematuhi serta mengikuti kehendak undang-undang Persatuan Nelayan dan arahan pendaftar yang dikeluarkan dari masa ke semasa;


11. memberi maklumat-maklumat serta kerjasama yang diperlukan oleh Persatuan;


12. memberi sumbangan perupa kewangan minima dan menjelaskan bayaran-bayaran yang perlu kepada Persatuan, sepertimana yang ditetapkan oleh perlembagaan kepada seorang ahli, iaitu yuran masuk, yuran tahunan, saham-saham dan lain-lain.


13. Menjelaskan segala tanggungan atau hutang-hutang kepada Persatuan;


14. membuat sumbangan kewangan tambahan apabila diperlukan sekiranya mampu bagi menambah modal saham ahli;


15. memastikan setiap modal serta Kewangan Persatuan itu digunakan atau dibelanjakan dengan betul dan memberikan teguran mengikut sebagaimana yang wajar;


16. memberi ketaatsetian yang tidak berbelah menjurus kearah menentukan kejayaan aktiviti seta perkhimatan Persatuan;


17. memberi keutamaan kepada kepentingan ramai melebihi daripada kepentingan peribadi, bagi menjamin kesejahteraan dan kejayaan Persatuan;


18. Menanam sifat rasa bertanggungjawab dan perasaan sayang kepada Persatuan serta ingin melihat akan kejayaannya, sebagai 'payung' kepada ahli dan masyarakat nelayan keseluruhannya;


19. Berusaha untuk bersama-sama bagi memastikan kejayaan Persatuan dan tidak berasa dengki atau irihati diatas kejayaannya; dan


20. lain-lain bentuk tugas dan tanggungjawab yang diperlukan oleh Persatuan dan ahli-ahlinya.