07 July 2009

Ko-Nelayan Perkenalkan Lori "Cold Truck" Tingkat Jualan Air Batu

KOTA KINABALU, 26 Jun (Bernama) -- Koperasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (Ko-Nelayan) melangkah setapak lagi dalam perkhidmatan jualan air batu kepada nelayan dan peniaga dengan memperkenalkan Program Lori "Cold Truck". Pengerusinya Datuk Samsudin Yahya berkata kemudahan itu menawarkan perkhidmatan bekalan air batu berkualiti secara terus kepada pengguna yang membuat tempahan.


Beliau berkata sebagai permulaan, perkhidmatan itu meliputi kawasan sekitar Beaufort, Sipitang, Kuala Penyu dan Lawas (Sarawak). Air batu berkualiti itu dihasilkan oleh Kompleks Mini Ko-Nelayan Sipitang (KMKS), katanya.


"Perkhidmatan baru ini akan dikembangkan ke Kompleks-kompleks Ko-Nelayan di lain-lain daerah seperti Kompleks Ko-Nelayan Lahad Datu, Kompleks Perikanan Ko-Nelayan (KPK) Kudat dan KPK Kuala Penyu," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan kunci lori "Cold Truck" kepada Penguasa KMKS, Encik Jamaih Kassim, di tempat letak kereta Wisma Pertanian Sabah, dekat sini Jumaat.


Majlis ringkas itu turut disaksikan oleh Pengurus Besar Ko-Nelayan, Masood Salleh dan pegawai kanan korporasi tersebut. Samsudin berkata bagi mengembangkan lagi perniagaan jualan air batu, Ko-Nelayan merancang membeli mesin pembuat ais kiub dan tiub, di samping loji mesin air batu tambahan (kapasiti pengeluaran 100 blok) bagi memenuhi keperluan nelayan dan peniaga di kawasan sasaran seperti Kuala Penyu, Sipitang, Beaufort dan Lawas.Katanya perkhidmatan itu akan memberi kemudahan kepada para nelayan untuk mendapatkan bekalan air batu pada masa yang telah ditetapkan, di samping membantu mereka menjimatkan masa dan kos untuk mendapatkan bekalan.-- BERNAMA

1 comment:

  1. Terima kasih atas Ko-nelayan atas perkhidmatan ini. Saya juga sedang mencari perkhidmatan sewa lori sejuk beku untuk penghantaran hasil ke destinasi.

    ReplyDelete