24 November 2009

Pemeriksaan Susulan Laporan Ketua Audit Negara 2007 - BHG II

......Sambungan

  • PERKARA BERBANGKIT DAN SYOR AUDIT
    Terdapat PDA yang bermasalah dan tiada gantian. LKIM Negeri perlu memastikan PDA sentiasa berfungsi. Sekiranya terdapat kerosakan ia perlu dibaiki segera. Selain itu, telefon talian tetap boleh dijadikan alternatif untuk mengatasi masalah capaian yang berlaku di negeri berkenaan.
    TINDAKAN SUSULAN
    Pihak LKIM telah membuat pembelian tambahan PDA
    yang dilengkapi teknologi dan perisian baru bagi
    menampung keperluan dari semasa ke semasa.
    Penggunaan talian tetap seperti yang disyorkan
    memerlukan kos pembangunan dan
    penyenggaraan yang tinggi.
    PANDANGAN AUDIT
    Pihak Audit berpuas hati dengan tindakan yang diambil.
  • PERKARA BERBANGKIT DAN SYOR AUDIT
    Matlamat untuk menyalurkan diesel bersubsidi kepada semua nelayan yang layak tidak akan tercapai kerana pemilik jeti persendirian lebih memberi keutamaan menyalurkan diesel bersubsidi kepada bot sendiri.
  • TINDAKAN SUSULAN
    LKIM telah menetapkan kuota bagi setiap pusat jualan di Negeri Sabah yang telah melantik pemilik jeti persendirian sebagai peruncit dengan memberi keutamaan kepada pusat jualan yang diuruskan oleh PNK. Surat telah dihantar kepada KO-NELAYAN pada bulan Jun 2008.

    Pada 3 November 2008, Jawatankuasa Induk Pelaksana Skim Subsidi Diesel Nelayan telah melantik Persatuan Nelayan Negeri Sabah (PENGASAH) sebagai pemborong diesel bersubsidi dan akan dilaksanakan mulai 1 Januari 2009 secara berperingkat iaitu di kawasan Pantai Timur Sabah dengan kuota sebanyak 9.80 juta liter sebulan. Bagaimanapun atas permintaan Kerajaan Negeri Sabah, perkara ini telah ditangguhkan.

    Di peringkat pusat jualan runcit di Negeri Sabah, LKIM telah menutup pusat jualan di EAGA Trade, Hing Lee Fishery, Jeti Barter Trade dalam usaha mengurangkan bilangan pusat jualan persendirian.
    PANDANGAN AUDIT
    Pihak Audit berpuas hati dengan tindakan yang diambil.

  • PERKARA BERBANGKIT DAN SYOR AUDIT
    LKIM perlu mengkaji semula kesesuaian lokasi pusat jualan
    berbanding dengan bilangan nelayan di kawasan tersebut
    dengan mengambil kira jarak, aksesibiliti dan bilangan
    nelayan. LKIM juga hendaklah memeriksa lokasi terutamanya
    jeti persendirian sebelum dilantik sebagai pusat jualan.
    TINDAKAN SUSULAN
    Kertas cadangan Penstrukturan Semula Pusat Jualan Diesel Bersubsidi Negeri Perak telah dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Task Force Ibu Pejabat Bil. 6/2008 pada bulan November 2008. LKIM telah menutup 6 Pusat Jualan di bawah PNK Matang pada 29 Julai 2008.

    LKIM akan terus mengambil tindakan secara berperingkat untuk melaksanakan saranan ini terutamanya di Negeri Perak.
    PANDANGAN AUDIT
    Pihak Audit berpuas hati dengan tindakan yang diambil

(Nantikan BHG III dan terakhir Laporan Tindakan Susulan Ketua Audit Negara. Apakah ISU atau perkara berbangkit yang penting tertinggal dalam Laporan Ketua Audit Negara 2008 sedangkan dinyatakan dalam Laporan 2007?). Menariknya PNK Kunak turut tersenarai.. Apakah perkara ini sudah "BERES"? Sama-sama kita nantikan......

20 November 2009

Pemeriksaan Susulan Laporan Ketua Audit Negara 2007 - BHG 1


Dalam Laporan Ketua Audit Negara 2007 banyak penemuan-penemuan yang telah diperolehi daripada badan-badan berkanun persekutuan termasuklah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM). Ini termasuklah keberkesanan agihan sumber manusia dan sistem pengurusan subsidi diesel untuk nelayan.

Dalam laporan tersebut, Ketua Audit Negara turut memberikan saranan dan langkah-langkah yang perlu diambil oleh LKIM untuk memantapkan lagi sistem pengurusan sedia ada.

Alhamdurillah, dalam Laporan Ketua Audit Negara 2008 pemeriksaan susulan telah dijalankan sama ada tindakan pembetulan telah diambil terhadap perkara-perkara yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2007.
Ternyata LKIM bukan sahaja mengambil perhatian serius malah mengambil langkah-langkah proaktif memperbaiki kekurangan dan menyelesaikan perkara-perkara tersebut sejajar dengan misi & objektif LKIM.
Tindakan susulan yang dibuat oleh LKIM ini patut diberi pujian dan bolehlah dijadikan sebagai satu penanda aras kepada Persatuan-persatuan Nelayan sama ada bergerak sejajar melaksanakan pekeliling-pekeliling daripada LKIM ke arah persatuan yang berdaya maju.

Berikut adalah senarai perkara-perkara berbangkit dan tindakan susulan LKIM dalam Laporan Ketua Audit Negara 2008:

  • PERKARA BERBANGKIT DAN SYOR AUDIT
    Norma agihan sumber manusia perlu diwujudkan dan faktor seperti bilangan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK), bilangan nelayan, jumlah pendaratan serta saiz negeri dijadikan asas untuk menentukan beban kerja di LKIM Negeri.
    TINDAKAN SUSULAN
    Pihak Pengurusan LKIM telah mendapat kelulusan
    penyusunan semula struktur organisasi daripada Jabatan
    Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kewangan pada
    bulan Mac 2009.
    PANDANGAN AUDIT
    Pihak Audit berpuas hati dengan tindakan yang diambil.

  • PERKARA BERBANGKIT DAN SYOR AUDIT
    Satu langkah kawalan berkesan perlu diwujudkan supaya urus niaga jualan harian dan bekalan dipantau serta dikemas kini secara berkala.
    TINDAKAN SUSULAN
    LKIM dan pihak vendor Skim Subsidi Diesel Nelayan dalam
    tindakan menaik taraf portal e-Nelayan Management System
    (Enhancement) bagi tujuan memaksimumkan penggunaan, menstabilkan dan mengekalkan penggunaan sistem serta meningkatkan sekuriti dalam portal. Proses menaik taraf portal e-Nelayan telah bermula pada 11 November 2008 hingga 11 Februari 2009.
    PANDANGAN AUDIT
    Pihak Audit berpuas hati dengan tindakan yang diambil.
  • PERKARA BERBANGKIT DAN SYOR AUDIT
    Fungsi log-off secara automatik perlu diwujudkan untuk memastikan alat tersebut tidak disalah guna.

TINDAKAN SUSULAN

Pihak LKIM telah mengadakan Mesyuarat Pengurusan Sistem e-Nelayan bilangan 1/2008 bertarikh 8 Oktober 2008 dan mengarahkan pihak IRIS selaku pembangun dan pengeluar perkakasan serta perisian bagi Personal Digital Assistant (PDA) model ST4eX. Perisian ini telah dikemas kini dan PDA telah dilengkapi dengan sistem kawalan log-off secara automatik. Perisian ini telah siap dibangunkan dan dalam proses pengujian.

Pihak LKIM telah mengambil tindakan dengan mengadakan beberapa lawatan berkala di setiap negeri untuk memeriksa rekod penggunaan PDA di pusat jualan minyak diesel bersubsidi. Ia juga disusuli dengan beberapa siri pemantauan Jawatankuasa Pemantauan Sistem e- Nelayan (eNMS).

PANDANGAN AUDIT

Pihak Audit berpuas hati dengan tindakan yang diambil.

(Susulan laporan pemeriksaan Ketua Audit Negara akan bersambung dengan bahagian II dan bahagian III.)

19 November 2009

Penternakan Siput Mentiah (Tropical Abalone) haliotis asinina


Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas pendapat dan ilham seorang pelawat blog ini yang membuka minda saya untuk berkongsikan ilmu pengetahuan tentang daya maju penternakan siput mentiah di Daerah Kunak. Beliau ada meninggalkan pautan tentang serba sedikit maklumat tentang siput mentiah dalam bahagian "komen dan cadangan" dalam blog ini.



Biologi



Abalone atau siput mentiah merupakan hidupan laut herbivor yang tergolong dalam genus haliotis bermaksud "sea ear". Siput mentiah beriklim tropika (haliotis asinina) adalah yang paling cepat tumbesarannya. Ia boleh mencecah 5 - 7 cm panjang cengkerang dengan purata berat badan 35 - 55g/seekor dalam masa 9 bulan daripada saiz 1.5 cm atau 1g/seekor.



Kriteria Pemilihan Tapak


  • keluasan = 1,000 meter persegi untuk 1 tan pengeluaran

  • kedalaman air = 5 - 10 m pada masa air paling surut

  • sumber air laut = bersih dan jauh daripada air tawar dan pencemaran

  • arus dan ombak yang sederhana

  • terdapat sumber rumpai laut Gracilaria atau "gulaman" yang banyak

Reka Bentuk Sangkar Ternakan


Terdapat pelbagai reka bentuk sangkar ternakan untuk siput mentiah. Untuk keterangan lanjut anda bolehlah memuat turun risalah daripada SEAFDEC yang begitu padat dan mudah difahami. ( http://www.seafdec.org.ph/pdf/abalone_culture_flyer.pdf )


Sekiranya anda perlukan maklumat lebih lanjut, sila email saya di ptkarisma@yahoo.com.my. InsyaAllah saya akan bekalkan maklumat-maklumat yang lebih terperinci.


Somoga Berjaya...

18 November 2009

AMARAN ANGIN KENCANG DAN LAUT BERGELORA

JMM-PRC(O)-LK-06

Dikeluarkan pada pukul 1.10 petang 18 Nov 2009

AMARAN KATEGORI KEDUA
AMARAN ANGIN KENCANG DAN LAUT BERGELORA

SEKSYEN A: AMARAN ANGIN KENCANG DAN LAUT BERGELORA (KATEGORI KEDUA) - Dipertingkatkan dari amaran yang dikeluarkan pada pukul 2.40 petang 12 November 2009.

Angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 50-60 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter yang berlaku di perairan Condore dijangka berterusan sehingga Ahad, 22 November 2009.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

SEKSYEN B: AMARAN ANGIN KENCANG DAN LAUT BERGELORA (KATEGORI PERTAMA) - Dikemaskini pada 5.30 petang, 16 November 2009.

Angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40-50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter yang berlaku di perairan Samui (Kelantan dan Terengganu), Reef North, Layang-Layang, Palawan dan Utara Sabah (Kudat) dijangka berterusan sehingga Ahad, 22 November 2009.

Selain daripada itu, kawasan pantai di Pantai Timur Semenanjung Malaysia (Kelantan, Terengganu dan Pahang) terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut. Keadaan ini dijangka bermula pada 18 November 2009 sehingga 20 November 2009.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

SEKSYEN C: AMARAN RIBUT PETIR - Dikemaskini pada 8.57 pagi, 18 November 2009.

Aktiviti ribut petir yang berlaku di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang Johor Timur, Sabah Timur (Sandakan, Lahad Datu dan Tawau) dan Sulawesi dijangka berterusan sehingga malam, hari Rabu, 18 November 2009.

Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang sehingga 40 kmsj dan laut bergelora dengan ombak boleh mencapai ketinggian 2.5 meter dan berbahaya kepada bot-bot kecil.

Dikemaskini pada 18 Nov 2009, jam 2.20 petang

24 August 2009

Subsidi dan insentif untuk Nelayan dan keluarga Nelayan

1)Elaun Sara Hidup Bulanan :
Diberikan kepada pemilik individu vessel perikanan dan pekerja warga tempatan yang bekerja di atas vessel berlesen. Elaun RM200 sebulan. Pada tahun 2008 sebanyak RM61.35 juta dibelanjakan untuk membayar elaun sara hidup kepada seramai 34,125 orang penerima.
2)Diesel dan Petrol Subsidi :
Diberikan kepada nelayan yang menggunakan vessel berjentera dan vessel berjentera sangkut bagi membantu meringankan kos operasi menangkap ikan. Nilai subsidi RM1.43 sen. Pada tahun 2008 sebanyak lebih RM880.93 juta dibelanjakan untuk membayar subsidi diesel dan petrol kepada 34,752 orang penerima.
3)Bayaran Insentif Hasil Tangkapan Ikan :
Diberikan kepada pemilik vessel perikanan yang berlesen berdasarkan hasil tangkapan ikan pada kadar 10 sen per kilogram. Pada tahun 2008 sejumlah RM15.59 juta dibayar kepada 19,888 pemilik vessel dengan jumlah hasil tangkapan sebanyak lebih 21.13 juta kilogram.
Insentif Pengeluaran Sektor Perikanan Akuakultur
Jumlah Nilai Insentif yang dikeluarkan pada tahun 2008, RM25.14 juta. Penerima seramai 2,260 orang.
1)Udang Laut
  • Penternak kecil RM1,560 per tan metrik
  • Separa Komersil RM780 per tan metrik
  • Penternak Komersil RM520 per tan metric

2)Ikan Laut

  • Penternak Kecil RM1,650 per tan metric
  • Separa Komersil RM 825 per tan metric
  • Penternak Komersil RM 550 per tan metric

3)Ikan Air Tawar

  • Penternak Kecil RM570 per tan metric
  • Separa Komersil RM285 per tan metric
  • Penternak Komersil RM190 per tan metrik

(Sumber: http://www.nohomar.com/search?q=nelayan)

SKIM BANTUAN BENCANA ALAM & KEBAJIKAN NELAYAN

KADAR BANTUAN/SUMBANGAN

• KEMALANGAN DIRI
I. Khairat Kematian (RM4,000.00)
II. Keilatan Kekal (RM4,000.00)
III. Hilang Upaya Kekal (RM10,000.00)
IV. Masuk Wad [lebih 3 hari] (RM1,000.00)

• KEHILANGAN & KEROSAKAN HARTA BENDA
I. Bot (RM15,000.00)
II. Sampan (RM6,000.00)
III. Rumah (RM8,000.00)
IV. Pukat dan lain-lain peralatan penangkapan ikan (RM3,000.00)


KELAYAKAN MEMOHON

• Nelayan yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan Malaysia atau Jabatan Perikanan Sabah dan mempunyai kad nelayan, atau ;

• Nelayan yang mempunyai kad e-Diesel dan kad e-Petrol,atau ;

• Nelayan yang menjadi ahli Persatuan Nelayan Kawasan dalam kategori 11(1)a, 11(1)b dan 11(1)c.


CARA MEMOHON

• Permohonan hendaklah menggunakan borang permohonan yang boleh didapati daripada :

I. Pejabat Persatuan Nelayan Kawasan

II. Laman web Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia : http://www.lkim.gov.my

(Sumber: http://www.nohomar.com/search?q=nelayan)

22 August 2009

Ko-Nelayan Sabah Serah Bantuan RM10,000 Kepada Nelayan Miskin

TAWAU, 23 Julai (Bernama) -- Koperasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (Ko-Nelayan) pada Khamis menyerahkan bantuan peralatan perikanan kepada 12 keluarga miskin tegar sebagai salah satu usahanya untuk membantu meningkatkan pendapatan golongan itu.

Penyerahan bantuan di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) melalui Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Nelayan membabitkan pemberian bot dan enjin sangkut bernilai kira-kira RM10,000 itu disempurkan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sebatik Abdul Muis Picho.

Abdul Muis dalam ucapannya pada majlis itu mengingatkan semua penerima supaya memanfaatkan sepenuhnya bantuan kerajaan dengan berusaha bersungguh-sungguh meningkatkan tangkapan seterusnya memperbaiki taraf ekonomi keluarga masing-masing.

"Apa jua bantuan yang dihulurkan kerajaan tentunya tidak akan bermakna sekiranya rakyat sendiri tidak memanfaatkan bantuan tersebut untuk mengubah nasib dan kehidupan mereka sendiri," katanya.

Katanya bantuan berkenaan juga membuktikan bahawa kerajaan tidak pernah mengabaikan nasib golongan miskin tegar terutama di kawasan luar bandar, apa lagi untuk meminggirkan mereka.

Sementara itu Abdul Muis meminta pihak berkuasa supaya mengetatkan kawalan bagi menghalang bot-bot pukat tunda menangkap ikan di kawasan perairan Pulau Sebatik kerana ia boleh menjejaskan pendapatan nelayan tradisi.

"Mereka (pengusaha bot-bot pukan tunda) ini merosakkan sumber hidupan marin di kawasan terlibat. Saya harap pihak berkuasa dapt membanyakkan operasi dan bertindak tegas terhadap bot-bot berkenaan," katanya.

Beliau seterusnya turut menyampaikan penghargaannya kepada Pasukan Gerak Marin (PGM) Tawau terhadap kejayaan pasukan itu menahan 10 bot pukat tunda yang beroperasi di muara Sungai Barantian awal bulan ini kerana menangkap udang di kawasan larangan.-- BERNAMA

NELAYAN KUNAK SUKAR DARAT IKAN


13 Julai 2009 (Isnin) Sabah&Sarawak: Nelayan Kunak sukar darat ikan
Oleh Hassan Omar hassanomar@bharian.com.my


Kegiatan nelayan beralih ke tebing konkrit sejak jeti runtuh tiga bulan KUNAK: Selepas berpuluh tahun membantu menghasilkan sumber perikanan di Sabah, nelayan di sini masih bergelut dengan masalah pendaratan ikan secara sempurna berikutan ketiadaan jeti yang benar-benar memenuhi keperluan itu. Industri perikanan yang berkembang pesat di daerah ini khususnya dan Pantai Timur Sabah amnya sejak beberapa tahun lalu seolah-olah tidak disokong dengan penyediaan jeti sempurna bagi membolehkan nelayan mendaratkan ikan, ketam, sotong dan pelbagai hasil laut yang lain.


Walaupun Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) ada menyediakan jeti diperbuat daripada papan di Pasar Ikan Kunak, ia tidak mampu menampung keperluan semasa, apatah lagi akan datang. Kesukaran nelayan mendaratkan hasil laut semakin getir berikutan jeti berkenaan runtuh tiga bulan lalu, sekali gus menyebabkan nelayan tidak mempunyai pilihan, selain terpaksa menggunakan tebing konkrit milik Majlis Daerah Kunak di Kampung Pangkalan untuk mendaratkan hasil laut. Sehubungan itu, Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kunak merayu LKIM menyediakan jeti pendaratan ikan lebih sempurna berbanding sedia ada, bukan setakat memudahkan nelayan mendaratkan hasil tangkapan, malah memajukan industri perikanan di negeri ini.


Pengerusinya, Asiah Hamid menjelaskan, 769 ahli PNK Kunak merayu LKIM membantu menyediakan jeti berkenaan berikutan jeti sedia ada yang disifatkannya kecil dan tidak kukuh, tidak mampu menampung bot laut dalam, bot besar dan kecil serta perahu yang membawa hasil tangkapan. "Daripada keseluruhan ahli itu, kebanyakannya adalah pemilik bot laut dalam, bot besar dan perahu. Antara peralatan digunakan untuk menangkap ikan adalah pukat jerut, pukat tunda, bagang (kelong) dan pukat hanyut. Ada juga yang memancing. "Selain jeti yang sudah runtuh itu, ada juga jeti milik swasta di Pangi. Jeti itu tidak boleh digunakan ahli PNK Kunak kerana ia adalah milik pemilik persendirian yang hanya dikhususkan untuk bot mereka," katanya kepada Berita Harian, di sini semalam.


Beliau menjelaskan, nelayan terpaksa menghadapi kesukaran menghampiri tebing konkrit berkenaan yang tidak dilengkapi kemudahan untuk bot berlabuh seperti tayar penahan bot, selain mesin penarik bakul yang dimuatkan dengan ikan, udang dan seumpamanya. Asiah berkata, PNK Kunak difahamkan, LKIM bercadang menyediakan peruntukan untuk membaiki jeti yang sudah runtuh itu tetapi ia tidak mungkin mampu menampung keperluan semasa dan akan datang. Beliau berkata, PNK Kunak sudah berbincang dengan LKIM mengenai permohonan berkenaan tetapi belum ada keputusan muktamad, setakat ini.


Sementara itu, Pengurus Besar PNK Kunak, Mohd Daud Mohd Alueh, berkata pembinaan jeti baru amat diperlukan berdasarkan peningkatan jumlah hasil laut yang didaratkan di jeti Kampung Pangkalan. "Sebanyak 9.134 juta kilogram (kg) atau kira-kira 9,000 tan metrik ikan didaratkan di jeti Kampung Pangkalan dari 1 Ogos 2008 hingga 6 Julai lalu. "Jumlah ini tidak termasuk ikan yang didaratkan di jeti milik swasta di Pangi. Ini membuktikan jeti baru amat diperlukan bagi memastikan industri perikanan di daerah ini terus berkembang," katanya.


Sementara itu, Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Kunak, Halid Haron, berkata Pejabat PKR Dewan Undangan Negeri (DUN) Kunak bersikap terbuka mengenai lokasi pembinaan jeti berkenaan sama ada kekal di Kampung Pangkalan atau di lokasi lain. Ini kerana, katanya, jalan masuk ke Kampung Pangkalan tidak ada laluan keluar yang menyebabkan lori mengangkut ikan dan kenderaan individu terpaksa membuat pusingan di kawasan tempat letak kenderaan berhampiran jeti Kampung Pangkalan. Sehubungan itu, katanya, Pejabat PKR memohon LKIM supaya meneliti masalah nelayan terbabit dan membantu mengatasinya dengan menyediakan jeti baru yang lebih sempurna.

21 August 2009

Nelayan Perlu Berani Teroka Teknologi Baru

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Pendapatan nelayan boleh meningkat sehingga lima kali ganda jika mereka berani menerokai teknologi baru dalam aktiviti penangkapan ikan, kata Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Datuk Abdul Rahim Ismail.

"Jika nelayan masih bergantung kepada cara tradisi, mereka hanya mampu meraih pendapatan bulanan antara RM250 dan RM300 sedangkan mereka mampu meraih antara RM800 dan RM1500 sebulan jika berani mempraktikkan cara baru yang diperkenalkan," katanya.

Bercakap kepada Bernama selepas Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) kali ke-24 di sini, Abdul Rahim berkata antara teknologi baru yang diperkenalkan LKIM dan Jabatan Perikanan ialah ternakan ikan dalam sangkar atau tangki.



Abdul Rahim berkata dengan mengunakan teknologi baru, produk perikanan negara dijangka mampu menjana pendapatan sebanyak RM8.1 bilion tahun depan berbanding hanya RM5 bilion setahun ketika ini.

Beliau berkata LKIM dengan kerjasama Jabatan Perikanan sedang mengenalpasti produk baru yang dapat dihasilkan secara komersial dari bahan buangan perikanan seperti tulang dan perut ikan bagi menambah pendapatan dalam sektor itu.

Mesyuarat agung itu dirasmikan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Abdul Karim.

-- BERNAMA

12 August 2009

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlu Bantu Golongan Rakyat Miskin Tegar Untuk Membanteras Gejalah Rasuah Dan Penyelewengan.


Sejajar dengan seruan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri 1Malaysia "rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan", SPRM kini begitu aktif membela rakyat yang memerlukan pembelaan. Kewujudan SPRM yang diilhamkan oleh Y.A.B. Tun Abdullah Ahmad Badawi telah membuka minda rakyat bahawa kerajaan begitu komited membanteras gejalah rasuah dan pecah amanah yang selama ini dipertikaikan oleh pihak pembangkang.


Sering kali kerajaan perkenalkan pelbagai pendekatan baharu untuk menurunkan kadar kemiskinan tegar di kalangan rakyat dengan peruntukan yang begitu besar. Namun begitu, adakah kita telah berpuas hati dengan pencapaian ini? Betulkah tahap pencapaian ini yang dimaksudkan "Diutamakan" setimpal dengan belanjawan kerajaan? Ataupun masih boleh dipertingkatkan dengan kajian-kajian terperinci terhadap struktur golongan masyarakat yang lebih dikenali sebagai "target group" ini?


Jika kita membuat kajian, di Daerah Kunak misalnya, kita akan mendapati pekerjaan utama rakyat miskin tegar adalah sebagai nelayan. Dengan maklumat seperti ini kerajaan akan dapat membuat pelan tindakan yang lebih berkesan. Sebagai contoh, Dana Nelayan daripada LKIM yang mengenakan kadar keuntungan 2% setahun merupakan pinjaman yang tidak dapat ditandingi mana-mana kadar keuntungan pada masa ini.


Bagaimana pula peranan SPRM untuk membantu rakyat miskin tegar khususnya masyarakat nelayan? Perlu diingat dan diberi perhatian golongan nelayan ini bukan sahaja miskin malahan tidak berpendidikan tinggi. Justeru itu, kita tidak dapat nafikan, mereka berkemungkinan besar akan menjadi mangsa utama orang-orang yang tidak bertanggungjawab. Masyarakat nelayan ini tidak akan dapat membela diri dan hak-hak mereka kerana mungkin tidak menyedari yang mereka sedang dianiaya.


Untuk merealisasikan hasrat kerajaan untuk membasmi kemiskinan tegar, SPRM harus mengambil langkah proaktif dengan memantau semua agensi-agensi pelaksana yang sepatutnya diamanahkan untuk membantu rakyat nelayan. SPRM mestilah mengambil kaedah turun padang atau "reaching out" untuk golongan ini dan tidak sahaja menunggu dan mengharapkan nelayan ini tampil membuat laporan ke pejabat.


Semoga SPRM akan dapat mengembalikan kepercayaan rakyat tentang kesungguhan dan integriti SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA.

07 July 2009

Ko-Nelayan Perkenalkan Lori "Cold Truck" Tingkat Jualan Air Batu

KOTA KINABALU, 26 Jun (Bernama) -- Koperasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (Ko-Nelayan) melangkah setapak lagi dalam perkhidmatan jualan air batu kepada nelayan dan peniaga dengan memperkenalkan Program Lori "Cold Truck". Pengerusinya Datuk Samsudin Yahya berkata kemudahan itu menawarkan perkhidmatan bekalan air batu berkualiti secara terus kepada pengguna yang membuat tempahan.


Beliau berkata sebagai permulaan, perkhidmatan itu meliputi kawasan sekitar Beaufort, Sipitang, Kuala Penyu dan Lawas (Sarawak). Air batu berkualiti itu dihasilkan oleh Kompleks Mini Ko-Nelayan Sipitang (KMKS), katanya.


"Perkhidmatan baru ini akan dikembangkan ke Kompleks-kompleks Ko-Nelayan di lain-lain daerah seperti Kompleks Ko-Nelayan Lahad Datu, Kompleks Perikanan Ko-Nelayan (KPK) Kudat dan KPK Kuala Penyu," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan kunci lori "Cold Truck" kepada Penguasa KMKS, Encik Jamaih Kassim, di tempat letak kereta Wisma Pertanian Sabah, dekat sini Jumaat.


Majlis ringkas itu turut disaksikan oleh Pengurus Besar Ko-Nelayan, Masood Salleh dan pegawai kanan korporasi tersebut. Samsudin berkata bagi mengembangkan lagi perniagaan jualan air batu, Ko-Nelayan merancang membeli mesin pembuat ais kiub dan tiub, di samping loji mesin air batu tambahan (kapasiti pengeluaran 100 blok) bagi memenuhi keperluan nelayan dan peniaga di kawasan sasaran seperti Kuala Penyu, Sipitang, Beaufort dan Lawas.Katanya perkhidmatan itu akan memberi kemudahan kepada para nelayan untuk mendapatkan bekalan air batu pada masa yang telah ditetapkan, di samping membantu mereka menjimatkan masa dan kos untuk mendapatkan bekalan.-- BERNAMA

04 July 2009

MASA DEPAN NELAYAN PESISIR PANTAI




Teluk Darvel merupakan tempat mencari rezeki bagi nelayan pesisir pantai yang tinggal di tiga daerah di pantai timur negeri Sabah sejak zaman sebelum merdeka lagi.terletak diantara Lahad datu, Kunak dan Semporna. Nelayan di tiga daerah ini menikmati hasil tangkapan yang memuaskan. Tahun 90-an kapal-kapal pukat jerut mula membanjari Teluk Darvel, ratusan tan ikan ditangkap setiap hari. Kapal-kapal ini bukan milik orang tempatan dan para pemilik kapal tidak mematuhi jarak minimum operasi pukat jerut dari tepi pantai.



Kawasan yang sepatutnya khas untuk nelayan pesisir pantai dan bot-bot kecil telah diceroboh dengan tiada batasan. Akibatnya, ramai nelayan kecil terjejas teruk. ini boleh dilihat dari penurunan pendapatan yang amat ketara dari tahun ke tahun.



Banyak usaha-usaha kerajaan untuk membantu golongan nelayan yang disalurkan melalui Jabatan Perikanan, LKIM, KO-Nelayan dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar. Setakat ini, kita belum melihat keberkesanannya untuk meningkatkan pendapatan para nelayan.


Perancangan yang teliti amatlah perlu dan pemantauan projek hendaklah dijalankan. Contohnya, projek sangkar ikan dan rumpai laut KPLB yang disalurkan melalui pejabat daerah. Projek ini adalah projek berkelompok bernilai RM 160,000.00 setiap kumpulan. setiap kumpulan diwakili 10 peserta. Adakah ke 10 ahli ini diberi tahu semasa penyerahan projek? bagaimana nelayan tahu nama mereka tersenarai dalam kumpulan tersebut?


Banyak lagi persoalan dan keraguan mengenai projek-projek yang disalurkan untuk nelayan. kami nelayan meletak harapan yang besar sekiranya ada pihak yang boleh mengatur Jabatan Perikanan , LKIM, KO-nelayan dan KPLB untuk mengadakan dialog dengan nelayan 4 bulan sekali. Masalah nelayan pesisir pantai di Kunak perlu diambil perhatian yang serius oleh semua.


Pemberian bot dan alat menangkap ikan secara percuma oleh kerajaan tidak dapat menyelesaikan masalah, jika mereka masih menangkap ikan di kawasan yang sama sebelum ini. Nelayan kecil di Kunak hanya ada dua pilihan:



  • Mengikuti program transformasi nelayan- 3 hingga 5 nelayan kecil bergabung untuk mendapat pinjaman sehingga RM 350,000.00 . Tujuan dana ini adalah untuk membina bot yang besar dan dilengkapi dengan peralatan moden. Dengan ini nelayan boleh bersaing dengan bot-bot besar.

  • Mengusahakan sangkar ikan -para nelayan perlu dorongan dan bimbingan dari semua pihak.Bantuan perlulah jelas dan menyeluruh untuk satu pusingan. contohnya; modal tetap dan modal pusingan. hasil dari projek mestilah dari RM1000-RM2000/nelayan/bulan. Nelayan akan menunjukkan komitmen jika projek mendatangkan hasil. nelayan tidak harus dipersalahkan setiap kali projek gagal.Kenapa penternak swasta boleh berjaya dan kebayakan projek kerajaan untuk nelayan gagal? kita perlu cari puncanya....

01 July 2009

PERANAN DAN PENGLIBATAN AHLI PERSATUAN NELAYAN





1. KUASA TERTINGGI



Kuasa tertinggi di dalam hal-ehwal sesuatu persatuan nelayan ialah mesyuarat agung ahli-ahli atau wakil-wakil ahli yang diadakan sekurang-kurangnya setahun sekali bagi MERANCANG, MEMBERI MANDAT, MEMBUAT DASAR DAN KETETAPAN, MENILAI serta MENELITI akan perkembangan dan prestasi sesuatu Persatuan Nelayan itu, disamping menentukan arahtuju, matlamat dan perjalanan Persatuan yang dianggotai.



2. KUASA MESYUARAT AGUNG


Mesyuarat Agung mempunyai kuasa-kuasa sepertimana yang diperuntukan dibawah Peraturan 34(2) Peraturan-Peraturan Persatuan Nelayan 1972.



3. MANDAT MESYUARAT AGUNG


Setiap keputusan, ketetapan dasar dan mandat Mesyuarat Agung akan diambil tindakan susulan oleh Lembaga Pengarah yang telah diberikan amanah oleh ahli-ahli untuk melaksanakannya dengan dibantu oleh pihak pengurusan yang CEKAP dan TERLATIH.



4. KEJAYAAN MATLAMAT PENUBUHAN PERSATUAN NELAYAN


Walaubagaimana pun kejayaan atau kegagalan sesuatu Persatuan Nelayan itu banyak bergantung di atas sokongan, komitmen, peranan dan sumbangan ahli-ahlinya di dalam setiap program serta aktiviti yang dijalankan.


Ahli-ahli be rperanan keatas setiap perlaksanaan yang telah dirancang serta diputuskan oleh Mesyuarat Agung dan dilaksanakan oleh Lembaga Pengarah itu demi kepentingan dan faedah bersama.


Sehubungan dengan ini, sewajarnya setiap ahli atau anggota sesuatu Persatuan Nelayan memainkan peranan dengan menunaikan tugas dan tanggung jawab mereka dengan sempurna bagi memastikan kejayaan Persatuan Nelayan, selaras dengan tujuan dan matlamat penubuhannya.



TUGAS DAN TANGGUNGJAWAB AHLI PERSATUAN NELAYAN


1. menyertai dan mengambil bahagian secara aktif di dalam kegiatan pergerakan Persatuan Nelayan dengan memegang jawatan-jawatan yang dipilih di dalam Mesyuarat Agung;


2. penyertaan secara aktif di dalam aktiviti yang dijalankan oleh Persatuan Nelayan, dengan hasrat atau demi memenuhi keperluan dan kepentingan bersama selaras dengan matlamat untuk meningkatkan kepentingan taraf sosial ekonomi masyarakat nelayan amnya dan ahli-ahli Persatuan Nelayan khasnya;


3. mengunakan setiap kemudahan atau perkhidmatan yang disediakan atau yang akan dilaksanakan oleh Persatuan Nelayan;


4. MENGAMBIL TINDAKAN SEWAJARNYA ATAU DIRASAKAN PERLU BAGI TUJUAN MENGHINDARI DARIPADA BERLAKUNYA PENYELEWENGAN, SALAH LAKU ATAU SALAH GUNA KUASA DI DALAM PERJALANAN PERSATUAN NELAYAN;


5. mengemukakan pendapat atau cadangan yang membina untuk kebaikan bersama untuk kepentingan ahli dan persatuan;


6. Menjaga hubungan baik serta perpaduan sesama ahli;


7. Tidak melakukan sesuatu perkara atau perbuatan yang boleh menjatuhkan atau memburukkan nama baik Persatuan Nelayan;


8. Akur serta patuh kepada kehendak dan keputusan ramai atau majoriti;


9. Tidak mengadakan atau mewujudkan sebarang bentuk pertandingan atau persaingan dengan Persatuan;


10. mematuhi serta mengikuti kehendak undang-undang Persatuan Nelayan dan arahan pendaftar yang dikeluarkan dari masa ke semasa;


11. memberi maklumat-maklumat serta kerjasama yang diperlukan oleh Persatuan;


12. memberi sumbangan perupa kewangan minima dan menjelaskan bayaran-bayaran yang perlu kepada Persatuan, sepertimana yang ditetapkan oleh perlembagaan kepada seorang ahli, iaitu yuran masuk, yuran tahunan, saham-saham dan lain-lain.


13. Menjelaskan segala tanggungan atau hutang-hutang kepada Persatuan;


14. membuat sumbangan kewangan tambahan apabila diperlukan sekiranya mampu bagi menambah modal saham ahli;


15. memastikan setiap modal serta Kewangan Persatuan itu digunakan atau dibelanjakan dengan betul dan memberikan teguran mengikut sebagaimana yang wajar;


16. memberi ketaatsetian yang tidak berbelah menjurus kearah menentukan kejayaan aktiviti seta perkhimatan Persatuan;


17. memberi keutamaan kepada kepentingan ramai melebihi daripada kepentingan peribadi, bagi menjamin kesejahteraan dan kejayaan Persatuan;


18. Menanam sifat rasa bertanggungjawab dan perasaan sayang kepada Persatuan serta ingin melihat akan kejayaannya, sebagai 'payung' kepada ahli dan masyarakat nelayan keseluruhannya;


19. Berusaha untuk bersama-sama bagi memastikan kejayaan Persatuan dan tidak berasa dengki atau irihati diatas kejayaannya; dan


20. lain-lain bentuk tugas dan tanggungjawab yang diperlukan oleh Persatuan dan ahli-ahlinya.

26 June 2009

KO-NELAYAN PEMBELA NASIB NELAYAN SABAH

Kompleks perikanan RM7.9j di Kuala Penyu



KUALA PENYU 26 April - Koperasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (Ko-Nelayan) memperuntukkan sebanyak RM7.9 juta bagi membina sebuah kompleks perikanan baru menggantikan kompleks yang dirobohkan baru-baru ini.

Pengerusinya, Datuk Samsudin Yahya berkata, kompleks serba moden itu akan membolehkan semua kerja memproses ikan dilakukan di bawah satu bumbung.

''Antara kemudahan yang terdapat di kompleks baru ini ialah ruang pejabat, bilik sejuk, stor tong ikan, kilang ais, tapak pasar borong, tempat pendaratan dan dewan pusat jualan.

''Selain itu, kompleks ini turut dilengkapi dengan surau dan kafe bagi memudahkan nelayan menunaikan tanggungjawab mengerjakan solat dan menjamu selera di komplek baru ini,'' katanya.
Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan kerja bersama Ahli Lembaga Pengarah Ko-Nelayan ke daerah Kuala Penyu, di sini semalam.

Samsudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong berkata, dengan adanya kompleks baru itu akan menjadi pemangkin menggiatkan lagi industri perikanan dan hiliran di daerah ini.

'Kita tahu bahawa kebanyakan penduduk di daerah ini menjadikan nelayan sebagai sumber pendapatan utama mereka.

'Kompleks baru ini akan meningkatkan lagi sumber pendapatan mereka kerana semua hasil akan dijual terus kepada pembeli tanpa melalui orang tengah,'' katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap segala kemudahan yang disediakan akan dimanfaat sepenuhnya oleh nelayan di sini.

21 June 2009

Kerajaan Belum Cadang Kaji Keputusan Kekalkan Ko-Nelayan Jual E-Diesel

KOTA KINABALU, 9 Jun (Bernama) -- Kerajaan Sabah belum bercadang mengkaji semula keputusannya untuk mengekalkan Koperasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (Ko-Nelayan) sebagai pembekal tunggal penjualan diesel bersubsidi kepada nelayan di negeri itu.


Timbalan Ketua Menteri Datuk Yahya Hussin sebaliknya mahu semua pihak menerima baik keputusan kerajan yang dibuat sebelum ini.

Menurutnya kabinet negeri telah mengambil kira semua faktor, termasuk rayuan Persatuan Nelayan Sabah (Pengasah) sebelum membuat keputusan itu.

Katanya langkah itu perlu bagi menjaga kepentingan Ko-Nelayan sebagai agensi kerajaan negeri yang diberi tanggungjawab mengedar diesel bersubsidi kepada nelayan di negeri ini sejak 2001.

"Saya fikir keputusan itu amat jelas dan tidak perlu lagi saya menyatakannya berulang-ulang kali," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian kedai "Fish-Mart" dan kenderaan bergerak "Mobile Fish/Shrimp On Wheel" di Wisma Pertaniaan, dekat sini hari ini.

Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri berkata demikian ketika diminta mengulas rayuan terbaru Pengasah supaya kerajaan negeri memberikan peranan kepada persatuan itu mengendalikan penjualan dan pengedaran e-diesel di Sabah.

Ketika membuat rayuan itu minggu lepas, pengerusi Pengasah Madrah Talih berkata persatuan itu wajar diberi peranan atau turut serta dalam urusan penjualan dan pengedaran e-diesel seperti di Semenanjung dan Sarawak. Penjualan e-diesel di Semenanjung diurus oleh Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) manakala di Sarawak pula oleh Persatuan Nelayan Negeri Sarawak.

Yahya berkata apa juga keuntungan yang diperoleh oleh Ko-Nelayan daripada operasi penjualan e-diesel itu akan disalurkan semula kepada para nelayan dalam pelbagai bentuk, termasuk bantuan peralatan menangkap ikan.

"Tiada nelayan yang dipinggirkan, malah Ko-Nelayan akan terus membantu dan membela nasib para nelayan tempatan," katanya sambil berkata bahawa terdapat sekitar 20,000 nelayan yang beroperasi di perairan Sabah.

-- BERNAMA

15 June 2009

NELAYAN PILIHAN BULAN JUN 2009


Biodata

Nama: Arnaib Bin Hamsah
Umur: 34 tahun
Alamat: Kampung Hampilan Laut, Peti Surat No. 07, 91207 Kunak, Sabah.
No. Tel: 019-8525507
Pendidikan: SPM
Pengalaman: 10 tahun dalam penternakan udang harimau
Kursus:
  • Kursus penternakan udang dalam air payau, K.K.
  • Kursus penternakan udang dalam kolam, Pulau Sayak, Kedah.
  • Kursus pembenihan udang harimau, Pulau Sayak, Kedah.
  • Kursus pemasaran dan strtegi jualan, peserta pasar nelayan & usahawan nelayan peringkat LKIM negeri Sabah
Beliau dilahirkan di pekan Beluran yang terletak di Daerah Sandakan pada 30 September 1975. Mendapat pendidikan awal di SK S.T. Mary Bandar dan peringkat sekolah menengah di SM Tiong Hua, Sandakan.

Setelah menamatkan pengajian di peringkat menengah, beliau terus menceburi bidang akuakultur iaitu penternakan udang harimau dalam kolam di Terusan Bungun dengan Syarikat Anak Desa Sdn Bhd. Memulakan kerjaya beliau daripada bawah hinggalah beliau diberi kepercayaan memegang jawatan penolong pengurus.

Meneruskan perjalanan kerjaya, beliau menyertai Syarikat Lubuk Gemilang Sdn Bhd tetapi kali ini sebagai pengurus penternakan kolam udang harimau di Daerah Tawau. Dalam pada itu, beliau dan seisi keluarga berhijrah untuk menetap di Kampung Hampilan Kunak pada tahun 2001. Setelah mendapat sedikit modal, beliau memulakan perniagaan sendiri dengan membuka 10 buah sangkar ikan dengan kerjasama adik sendiri. Bermodalkan RM50,000 daripada bantuan MARA Semporna beliau memulakan perusahaan ikan sangkar ini pada tahun 2008. Selain itu, kegiatan menangkap ikan dengan bubuh juga dijalankan untuk menjana pendapatan sementara menunggu hasil tuaian. Dianggarkan hasil tuaian ikan kerapu harimau beliau untuk 3 bulan akan datang boleh mencecah 2 metrik tan.

En. Arnaib menyertai Persatuan Nelayan Kawasan Kunak pada tahun 2007 dan bergerak aktif membantu memberikan pandangan yang munasabah untuk memajukan PNK. Menurut beliau PNK harus memanfaatkan segala bantuan dan peruntukan kerajaan yang di salurkan melalui LKIM. Selain itu, ALP dan pihak pengurusan seharusnya berganding bahu untuk membetulkan seluruh sistem sedia ada mengikut Akta Persatuan Nelayan 1971, Peraturan-Peratuan dan Kaedah-Kaedah Persatuan dan juga Perlembagaan Persatuan Nelayan. Nasihat beliau, jangan berkompromi dengan pihak yang hanya mengambil kesempatan mempergunakan Persatuan Nelayan untuk kepentingan peribadi. "Kepentingan bersama ahli persatuan seharusnya mengatasi kepentingan peribadi" kata beliau.

Bercakap tentang perancangan masa depan, beliau ingin menjadi usahawan akuakultur yang dapat menceburi satu rantai integrasi dalam bidang yang berkaitan. Setelah perusahan sangkar ikan, bidang pembenihan ikan menjadi langkah seterusnya sebelum bidang peruncitan input-input perikanan.

Ditanya berkenaan harapan dan nasihat kepada nelayan khususnya nelayan Kunak, beliau mengharapkan suatu hari golongan nelayan tidak lagi menjadi golongan majoriti dalam statistik masyarakat miskin tegar malahan menjadi antara satu golongan penyumbang utama kepada pendapatan negara. Nasihat kepada semua nelayan terutamanya di Daerah Kunak agar bersatu padu menyahut seruan kerajaan dan mengambil peranan aktif dalam Persatuan Nelayan dengan memahami serta menghayati Akta, peraturan/kaedah dan perlembagaan untuk menjaga kepentingan bersama.

13 June 2009

Ramai Nelayan Tipu LKIM Insentif Sara Hidup

PAPAR 22 Nov. - Sebilangan besar daripada 32,000 nelayan yang menerima insentif sara hidup RM200 dikesan cuba menipu Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dengan mengemukakan permohonan berulang dengan menggunakan nama ahli keluarga.

Pengerusi LKIM, Datuk Abdul Rahim Ismail berkata, pihaknya kesal dan memandang serius perbuatan tersebut dan akan menjalankan siasatan dalam masa terdekat.

"Seramai 25,000 orang yang mendapat insentif itu adalah pemilik bot dan 7,000 lagi adalah awak-awak. "Kita hairan mengapa pendaftaran awak- awak ini begitu sedikit sedangkan mereka juga layak berbuat demikian.

"LKIM akan melakukan siasatan kerana kita dapati lebih kurang dua pertiga daripada pemilik-pemilik bot ini memohon semula tetapi dengan menggunakan nama anak dan isteri mereka," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kompleks Mini Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Papar di Kampung Laut di sini hari ini.

Katanya, insentif berkenaan bertujuan membantu nelayan di seluruh negara dan di Sabah sehingga pertengahan tahun ini, hanya 2,000 orang yang sudah berdaftar. Abdul Rahim berkata, jumlah nelayan di seluruh negara yang layak menerima insentif itu ialah 80,000 orang dan kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM180 juta setahun.

"Ini bermakna, setiap bulan lebih RM14 juta diberikan kepada golongan nelayan khusus untuk membantu mereka," katanya.

Terdahulu ketika berucap, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Manis berkata, taraf hidup nelayan di Sabah masih jauh ketinggalan berbeza dengan nelayan di Semenanjung atau Sarawak.

Katanya, taraf hidup nelayan di negeri ini akan mengalami perubahan dalam beberapa tahun akan datang setelah lebih hampir 60 tahun hidup bergelumang dengan kemiskinan.

Sementara itu, Pengarah LKIM Sabah, Zainal Md. Ali meminta nelayan di negeri ini supaya menceburkan diri dalam bidang perusahaan rumpai laut kerana pendapatannya yang lumayan.

Katanya, kerajaan memperuntukkan pinjaman sebanyak RM220 juta bagi nelayan yang ingin mengusahakan rumpai laut dan setakat ini perusahaan itu dilakukan di beberapa daerah sahaja.

10 June 2009

Permohonan Tingkat Kemudahan Tangkap Ikan Ahli Pengasah Tidak Dilayan

KOTA KINABALU: Persatuan Nelayan Negeri Sabah (Pengasah) yang dianggotai 15,000 nelayan Bumiputera, kecewa dengan tindakan kerajaan negeri yang didakwa meminggirkan persatuan itu sehingga ahlinya gagal menerima kemudahan untuk meningkatkan sosioekonomi kerana terpaksa mengekalkan operasi secara tradisi.

Pengerusinya, Madrah Talih, mendakwa jabatan, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kerajaan negeri dalam bidang perikanan tidak memberi pertimbangan terhadap permohonan persatuan itu untuk meningkatkan infrastruktur penangkapan ikan dan pelbagai kemudahan diperlukan ahlinya di seluruh negeri.

"Majoriti ahli kami adalah nelayan kecil hidup miskin yang memerlukan kemudahan seperti subsidi sampan, pukat, petrol dan penyediaan jeti pendaratan ikan yang sempurna.

"Malangnya, permohonan kami tidak mendapat perhatian kerajaan negeri sehingga kami berasa Pengasah dianaktirikan.

"Kerajaan negeri juga tidak meluluskan permohonan kami menjadi pembekal subsidi diesel (e-diesel) dan petrol (e-petrol) kepada nelayan di seluruh negeri hingga ramai anggota kami gagal memanfaatkan kemudahan itu.

"Ini tidak adil kepada nelayan terutama nelayan kecil Bumiputera yang beroperasi di pesisir pantai menggunakan sampan," katanya selepas perasmian mesyuarat agung tahunan Pengasah yang disempurnakan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Abdul Rahim Ismail, kelmarin.

Madrah berkata, nelayan kecil sepatutnya dibantu bagi memastikan mereka bebas daripada status Ketua Isi Rumah Miskin Tegar (KIRMT) yang disasarkan kerajaan negeri.

Katanya, Pengasah menyokong kenyataan Abdul Rahim bahawa perniagaan diesel dan petrol layak ditadbir urus Pengasah berikutan kelemahan Koperasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (Ko-Nelayan) mengurusnya sehingga ramai nelayan tidak mendapat kemudahan itu, terutama nelayan kecil Bumiputera hidup miskin yang beroperasi di pesisir pantai.

"Walaupun e-diesel dan e-petrol diperkenalkan pada 1 Jun 2006, ramai nelayan belum menikmatinya selain kekerapan kehabisan bekalan minyak.

"Mungkin ada pihak tertentu menyeleweng kemudahan itu dengan menjualnya kepada pihak industri dan ini perlu disiasat segera kerana tindakan mereka merugikan nelayan kecil.

"Kami memberi jaminan, ahli yang menjual semula diesel dan petrol kepada pihak industri akan dikenakan tindakan termasuk menghantar senarai nama mereka kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna untuk tindakan lanjut. Bagaimanapun, sehingga kini tiada yang dikesan berbuat demikian," katanya.

Madrah berkata, nelayan kecil pesisir pantai turut berdepan masalah kekurangan tangkapan akibat tindakan pemilik kapal pukat tunda beroperasi di pesisir pantai dan kegiatan pengeboman ikan yang merosakkan terumbu karang sehingga kekurangan ikan.

"Kami harap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mempergiatkan operasi memburu kapal pukat tunda yang beroperasi di pesisir pantai bagi memastikan nelayan kecil tidak kehilangan sumber pendapatan," katanya.

Pengasah mahu kemuka isu e-diesel kepada PM

KOTA KINABALU: Persatuan Nelayan Negeri Sabah (Pengasah) akan membawa isu keengganan kerajaan Sabah menyokong cadangan persatuan itu mengurus tadbir perniagaan pembekal dan peruncit subsidi diesel (e-diesel) dan petrol (e-petrol) nelayan di seluruh negeri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak tidak lama lagi demi kepentingan 15,000 nelayan kecil Bumiputera.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Abdul Rahim Ismail, berkata beliau dimaklumkan mengenai perkara itu oleh Pengerusi Pengasah, Madrah Talih, kelmarin.

"Ketika ini perniagaan itu diurus Koperasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (Ko-Nelayan) iaitu agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan negeri," katanya pada siang media selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Pengasah di sini, kelmarin.

Hadir sama Pendaftar Persatuan Nelayan Malaysia, Sa'adom Abdul Wahab.

Abdul Rahim berkata, perniagaan e-diesel dan e-petrol sepatutnya boleh ditadbir urus Pengasah berikutan kelemahan Ko-Nelayan mengurusnya sehingga ramai nelayan tidak mendapat kemudahan itu terutama nelayan kecil Bumiputera hidup miskin yang beroperasi di pesisir pantai.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Manis, berkata isu itu pernah dibahasnya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah sembilan bulan lalu dan tidak mendapat persetujuan kerajaan negeri.

"Sepatutnya Pengasah diberi peluang mengurus penyaluran subsidi itu kerana mereka lebih mengenali dan memahami nasib nelayan berbanding Ko-Nelayan.

"Ketika subsidi e-diesel dan e-petrol diperkenalkan pada 1 Jun 2006 mungkin mereka tidak mampu mengurusnya dan diserahkan kepada Ko-Nelayan tetapi kini keadaan sudah berubah dan Pengasah boleh menjadi pembekal dan peruncit bahan bakar itu.

"Saya menyokong usaha persatuan itu untuk membawa isu berkenaan kepada Perdana Menteri, namun sebelum itu ia perlu dibincangkan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan agensi berkaitan penyaluran subsidi berkenaan seperti LKIM," katanya.

Abdul Rahim memberi contoh, penyaluran e-diesel dan e-petrol berjalan lancar di Semenanjung kerana ditadbir urus Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) sehingga ramai nelayan hidup kaya berbanding di Sabah yang hidup miskin.

Beliau turut mengumumkan, LKIM Sabah menerima peruntukan RM20 juta tahun ini untuk menjayakan pelbagai projek meliputi infrastruktur perikanan, dana nelayan dan transformasi perikanan.

Terdahulu, Jamrah menyuarakan ketidakpuasan hati persatuan mewakili 15,000 nelayan kecil di seluruh Sabah itu kerana kegagalan mereka menikmati e-diesel dan e-petrol yang ditadbir urus Ko-Nelayan.

"Kami hairan kenapa kerajaan negeri tidak menyokong usaha Pengasah sedangkan ia untuk kebaikan nelayan terutama nelayan kecil Bumiputera," katanya.

05 June 2009

Laporan Ketua Audit Negara 2007 (Bahagian I)

  • Peralatan Personal Digital Assistant Bermasalah Dan Tiada Gantian

Pekeliling LKIM Bilangan 1 Tahun 2006 menetapkan penggunaan alat PDA dan e-NDMS diwajibkan di semua pusat jualan. Setiap pusat jualan diberikan sebuah alat PDA dan pencetak bluetooth untuk menjalankan operasi jualan diesel. Pemeriksaan Audit mendapati alat PDA di pusat jualan berikut tidak berfungsi dengan baik disebabkan masalah seperti di jadual berikut:

Apabila berlaku kerosakan pada alat PDA, tiada gantian dilakukan sehingga kerosakan dibaiki. Pada pendapat Audit, LKIM Negeri perlu memastikan PDA sentiasa berfungsi. Sekiranya terdapat kerosakan ia perlu dibaiki dengan segera. Selain itu, telefon talian tetap boleh dijadikan alternatif untuk mengatasi masalah capaian yang berlaku di negeri berkenaan.

  • Persatuan Nelayan Kawasan
Di setiap PNK, satu unit telah ditubuhkan bagi tujuan mengurus dan memantau skim subsidi diesel yang dijalankan di pusat jualan untuk menyalurkan diesel bersubsidi kepada nelayan. Unit ini diketuai oleh Pembantu Hal Ehwal Ekonomi dan dibantu oleh penyelia manakala jurupam ditugaskan di setiap pusat jualan. Pihak Audit mendapati semua tugas dibuat oleh seorang jurupam di pusat jualan iaitu bermula dari pemeriksaan baki kuota sehingga merekodkan jualan dan mengeluarkan resit kepada nelayan.

Pada pendapat Audit, pengasingan tugas di pusat jualan adalah perlu untuk memastikan wujudnya kawalan dalaman dan ketelusan dalam mengendalikan jualan diesel bersubsidi. Selain itu, penyelia perlu meningkatkan pengawasan bagi memastikan keberkesanan kawalan dalaman.

  • Kakitangan PNK Di Pusat Jualan
Tatacara dan Syarat Membekal dan Menjual Diesel Bersubsidi di bawah skim subsidi diesel untuk Nelayan menyatakan PNK perlu menjalankan sendiri penjualan diesel bersubsidi kepada nelayan. Pemeriksaan Audit mendapati pusat jualan di Tambisan, Lahad Datu, Jeti Kampung Pengkalan di Kunak dan Jeti Kampung Simunul di Semporna, Sabah tidak menempatkan kakitangan PNK untuk menyelia jualan diesel bersubsidi. Pihak Audit berpendapat PNK perlu menempatkan kakitangan di setiap pusat jualan untuk meningkatkan kawalan dan membendung penyelewengan oleh pihak tertentu.