15 June 2009

NELAYAN PILIHAN BULAN JUN 2009


Biodata

Nama: Arnaib Bin Hamsah
Umur: 34 tahun
Alamat: Kampung Hampilan Laut, Peti Surat No. 07, 91207 Kunak, Sabah.
No. Tel: 019-8525507
Pendidikan: SPM
Pengalaman: 10 tahun dalam penternakan udang harimau
Kursus:
  • Kursus penternakan udang dalam air payau, K.K.
  • Kursus penternakan udang dalam kolam, Pulau Sayak, Kedah.
  • Kursus pembenihan udang harimau, Pulau Sayak, Kedah.
  • Kursus pemasaran dan strtegi jualan, peserta pasar nelayan & usahawan nelayan peringkat LKIM negeri Sabah
Beliau dilahirkan di pekan Beluran yang terletak di Daerah Sandakan pada 30 September 1975. Mendapat pendidikan awal di SK S.T. Mary Bandar dan peringkat sekolah menengah di SM Tiong Hua, Sandakan.

Setelah menamatkan pengajian di peringkat menengah, beliau terus menceburi bidang akuakultur iaitu penternakan udang harimau dalam kolam di Terusan Bungun dengan Syarikat Anak Desa Sdn Bhd. Memulakan kerjaya beliau daripada bawah hinggalah beliau diberi kepercayaan memegang jawatan penolong pengurus.

Meneruskan perjalanan kerjaya, beliau menyertai Syarikat Lubuk Gemilang Sdn Bhd tetapi kali ini sebagai pengurus penternakan kolam udang harimau di Daerah Tawau. Dalam pada itu, beliau dan seisi keluarga berhijrah untuk menetap di Kampung Hampilan Kunak pada tahun 2001. Setelah mendapat sedikit modal, beliau memulakan perniagaan sendiri dengan membuka 10 buah sangkar ikan dengan kerjasama adik sendiri. Bermodalkan RM50,000 daripada bantuan MARA Semporna beliau memulakan perusahaan ikan sangkar ini pada tahun 2008. Selain itu, kegiatan menangkap ikan dengan bubuh juga dijalankan untuk menjana pendapatan sementara menunggu hasil tuaian. Dianggarkan hasil tuaian ikan kerapu harimau beliau untuk 3 bulan akan datang boleh mencecah 2 metrik tan.

En. Arnaib menyertai Persatuan Nelayan Kawasan Kunak pada tahun 2007 dan bergerak aktif membantu memberikan pandangan yang munasabah untuk memajukan PNK. Menurut beliau PNK harus memanfaatkan segala bantuan dan peruntukan kerajaan yang di salurkan melalui LKIM. Selain itu, ALP dan pihak pengurusan seharusnya berganding bahu untuk membetulkan seluruh sistem sedia ada mengikut Akta Persatuan Nelayan 1971, Peraturan-Peratuan dan Kaedah-Kaedah Persatuan dan juga Perlembagaan Persatuan Nelayan. Nasihat beliau, jangan berkompromi dengan pihak yang hanya mengambil kesempatan mempergunakan Persatuan Nelayan untuk kepentingan peribadi. "Kepentingan bersama ahli persatuan seharusnya mengatasi kepentingan peribadi" kata beliau.

Bercakap tentang perancangan masa depan, beliau ingin menjadi usahawan akuakultur yang dapat menceburi satu rantai integrasi dalam bidang yang berkaitan. Setelah perusahan sangkar ikan, bidang pembenihan ikan menjadi langkah seterusnya sebelum bidang peruncitan input-input perikanan.

Ditanya berkenaan harapan dan nasihat kepada nelayan khususnya nelayan Kunak, beliau mengharapkan suatu hari golongan nelayan tidak lagi menjadi golongan majoriti dalam statistik masyarakat miskin tegar malahan menjadi antara satu golongan penyumbang utama kepada pendapatan negara. Nasihat kepada semua nelayan terutamanya di Daerah Kunak agar bersatu padu menyahut seruan kerajaan dan mengambil peranan aktif dalam Persatuan Nelayan dengan memahami serta menghayati Akta, peraturan/kaedah dan perlembagaan untuk menjaga kepentingan bersama.

No comments:

Post a Comment