10 June 2009

Pengasah mahu kemuka isu e-diesel kepada PM

KOTA KINABALU: Persatuan Nelayan Negeri Sabah (Pengasah) akan membawa isu keengganan kerajaan Sabah menyokong cadangan persatuan itu mengurus tadbir perniagaan pembekal dan peruncit subsidi diesel (e-diesel) dan petrol (e-petrol) nelayan di seluruh negeri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak tidak lama lagi demi kepentingan 15,000 nelayan kecil Bumiputera.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Abdul Rahim Ismail, berkata beliau dimaklumkan mengenai perkara itu oleh Pengerusi Pengasah, Madrah Talih, kelmarin.

"Ketika ini perniagaan itu diurus Koperasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (Ko-Nelayan) iaitu agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan negeri," katanya pada siang media selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Pengasah di sini, kelmarin.

Hadir sama Pendaftar Persatuan Nelayan Malaysia, Sa'adom Abdul Wahab.

Abdul Rahim berkata, perniagaan e-diesel dan e-petrol sepatutnya boleh ditadbir urus Pengasah berikutan kelemahan Ko-Nelayan mengurusnya sehingga ramai nelayan tidak mendapat kemudahan itu terutama nelayan kecil Bumiputera hidup miskin yang beroperasi di pesisir pantai.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Manis, berkata isu itu pernah dibahasnya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah sembilan bulan lalu dan tidak mendapat persetujuan kerajaan negeri.

"Sepatutnya Pengasah diberi peluang mengurus penyaluran subsidi itu kerana mereka lebih mengenali dan memahami nasib nelayan berbanding Ko-Nelayan.

"Ketika subsidi e-diesel dan e-petrol diperkenalkan pada 1 Jun 2006 mungkin mereka tidak mampu mengurusnya dan diserahkan kepada Ko-Nelayan tetapi kini keadaan sudah berubah dan Pengasah boleh menjadi pembekal dan peruncit bahan bakar itu.

"Saya menyokong usaha persatuan itu untuk membawa isu berkenaan kepada Perdana Menteri, namun sebelum itu ia perlu dibincangkan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan agensi berkaitan penyaluran subsidi berkenaan seperti LKIM," katanya.

Abdul Rahim memberi contoh, penyaluran e-diesel dan e-petrol berjalan lancar di Semenanjung kerana ditadbir urus Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) sehingga ramai nelayan hidup kaya berbanding di Sabah yang hidup miskin.

Beliau turut mengumumkan, LKIM Sabah menerima peruntukan RM20 juta tahun ini untuk menjayakan pelbagai projek meliputi infrastruktur perikanan, dana nelayan dan transformasi perikanan.

Terdahulu, Jamrah menyuarakan ketidakpuasan hati persatuan mewakili 15,000 nelayan kecil di seluruh Sabah itu kerana kegagalan mereka menikmati e-diesel dan e-petrol yang ditadbir urus Ko-Nelayan.

"Kami hairan kenapa kerajaan negeri tidak menyokong usaha Pengasah sedangkan ia untuk kebaikan nelayan terutama nelayan kecil Bumiputera," katanya.

No comments:

Post a Comment