26 June 2009

KO-NELAYAN PEMBELA NASIB NELAYAN SABAH

Kompleks perikanan RM7.9j di Kuala Penyu



KUALA PENYU 26 April - Koperasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (Ko-Nelayan) memperuntukkan sebanyak RM7.9 juta bagi membina sebuah kompleks perikanan baru menggantikan kompleks yang dirobohkan baru-baru ini.

Pengerusinya, Datuk Samsudin Yahya berkata, kompleks serba moden itu akan membolehkan semua kerja memproses ikan dilakukan di bawah satu bumbung.

''Antara kemudahan yang terdapat di kompleks baru ini ialah ruang pejabat, bilik sejuk, stor tong ikan, kilang ais, tapak pasar borong, tempat pendaratan dan dewan pusat jualan.

''Selain itu, kompleks ini turut dilengkapi dengan surau dan kafe bagi memudahkan nelayan menunaikan tanggungjawab mengerjakan solat dan menjamu selera di komplek baru ini,'' katanya.
Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan kerja bersama Ahli Lembaga Pengarah Ko-Nelayan ke daerah Kuala Penyu, di sini semalam.

Samsudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong berkata, dengan adanya kompleks baru itu akan menjadi pemangkin menggiatkan lagi industri perikanan dan hiliran di daerah ini.

'Kita tahu bahawa kebanyakan penduduk di daerah ini menjadikan nelayan sebagai sumber pendapatan utama mereka.

'Kompleks baru ini akan meningkatkan lagi sumber pendapatan mereka kerana semua hasil akan dijual terus kepada pembeli tanpa melalui orang tengah,'' katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap segala kemudahan yang disediakan akan dimanfaat sepenuhnya oleh nelayan di sini.

No comments:

Post a Comment