08 March 2011

Akta Persatuan Nelayan 1971 perlu difahami oleh Pengurus Besar dan ALP.

Ahli Persatuan Nelayan Kawasan

11. (1) Seseorang yang bermastautin dalam kawasan kegiatan sesuatu Persatuan Nelayan Kawasan dan yang telah mencapai umur 18 tahun adalah layak menjadi seorang ahli Persatuan Nelayan Kawasan jika dia termasuk di bawah mana-mana daripada kategori yang berikut, iaitu:

(a) mana-mana orang yang bekerja menangkap, mengutip atau memelihara hidupan dalam air selama tempoh sekurang-kurangnya seratus dua puluh hari dalam setahun;

(b) mana-mana orang yang bekerja memproses, mengendalikan atau berniaga ikan;

(c) mana-mana orang yang mendapat enam puluh peratus atau lebih daripada jumlah pendapatannya daripada perusahaan perikanan.

(2) Mana-mana orang yang menjalankan penyelidikan berkenaan dengan atau mengambil bahagian dalam memperkembang dan memajukan perusahaan menangkap ikan adalah layak menjadi ahli bersekutu.


Sedih dan adakalanya lucu apabila saya mendapat tahu dalam penyemakan keahlian PNK Kunak benar-benar tidak berlandaskan Akta Persatuan Nelayan 1971. Sedih!! sekiranya ia disalahguna untuk menyingkirkan ahli yang benar-benar layak dan lucu!!! sekiranya Pengurus Besar selaku penasihat ALP dalam soal perundangan tidak memahami Akta.

Jika difahami petikan Akta di atas ternyata ianya bukan dalam bahasa yang susah difahami. Ia ditulis sedemikian adalah untuk memudahkan kita untuk memahaminya.

"Kami dianiaya!!!".
Begitulah keluhan daripada salah seorang Ahli Persatuan Nelayan Kawasan Kunak yang cuba disingkirkan daripada menjadi ahli kerana hasratnya untuk bertanding untuk Ahli Lembaga Pengarah tahun ini.

Menurut beliau, dia telah dipanggil untuk ditemuduga oleh pengurus besar dan ALP dan mendengar alasan-alasan kenapa keahlian beliau dipertikaikan. Sungguh pun sebelum ini, surat pengesahan daripada Pengerusi JKKK dan Pegawai Pembangunan Masyarakat (Hja Maimunah Binti Datuk Zainal) telah diserahkan namun ianya seolah-olah sehelai sampah.

Apakah ada pakatan di antara ALP dan Pengurus Besar untuk mengekalkan ALP yang lama sungguhpun telah menyebabkan kerugian terkumpul pada 2009? Kemana keuntungan PNK setiap tahun sebelum ini?

Beliau turut dituduh mempunyai punca pendapatan lain yang melebihi pendapatannya sebagai seorang penternak ikan (nelayan).

"Saya hanya sebagai salah seorang lembaga pengelola pusat tuisyen dan tidak diberi gaji. yang ada elaun datang mesyuarat. itu pun jarang-jarang" katanya dengan nada kecewa.

Sekiranya Pengurus Besar membaca dan faham Akta Persatuan Nelayan 1971, soalan-soalan seperti ini yang saya anggap soalan tidak waras tidak akan ditimbulkan. Perkataan "mana-mana daripada kategori...." seperti Akta di atas jelas saudara kita ini termasuk dalam ketegori 11(1)(a) kerana pekerjaan utama beliau adalah memelihara ikan dan yang nyata 11(1)(c) bukan menjadi isu lagi. Dalam erti kata yang lain sama ada 11(1)(a) ATAU (b) ATAU (c).

Saya yakin dan percaya LKIM sebagai pendaftar tidak akan membiarkan perkara-perkara seperti ini berlarutan. Tindakan Pengurus Besar yang dipertanggungjawabkan oleh LKIM ini seolah-olah mencerminkan kelemahan yang sangat besar dan boleh menjejaskan kredibiliti LKIM sebagai peneraju pembangunan masyarakat nelayan.

Di sini juga ingin saya sarankan sekiranya LKIM serius ingin memantapkan pengurusan Persatuan Nelayan Kawasan Kunak, penapisan yang ketat dan pembangunan kemahiran kakitangan pengurusan perlu diadakan secepat mungkin. Kita tidak mahu melihat pembangunan yang selama ini dilakarkan oleh LKIM tidak lagi dihargai oleh rakyat angkara segelintir kakitangan yang tidak cekap dan tidak bertanggungjawab.


1 comment:

  1. Orang yang berkuasa mempunyai tanggungjawab memastikan semua undang-undang dikuatkuasa dengan baik untuk melindungi semua nelayan. LKIM harus sentiasa melindungi nelayan-nelayan tanpa mengira status dan membantu menyelesaikan masalah seperti masalah penyewaan lori makanan.

    ReplyDelete