20 November 2009

Pemeriksaan Susulan Laporan Ketua Audit Negara 2007 - BHG 1


Dalam Laporan Ketua Audit Negara 2007 banyak penemuan-penemuan yang telah diperolehi daripada badan-badan berkanun persekutuan termasuklah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM). Ini termasuklah keberkesanan agihan sumber manusia dan sistem pengurusan subsidi diesel untuk nelayan.

Dalam laporan tersebut, Ketua Audit Negara turut memberikan saranan dan langkah-langkah yang perlu diambil oleh LKIM untuk memantapkan lagi sistem pengurusan sedia ada.

Alhamdurillah, dalam Laporan Ketua Audit Negara 2008 pemeriksaan susulan telah dijalankan sama ada tindakan pembetulan telah diambil terhadap perkara-perkara yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2007.
Ternyata LKIM bukan sahaja mengambil perhatian serius malah mengambil langkah-langkah proaktif memperbaiki kekurangan dan menyelesaikan perkara-perkara tersebut sejajar dengan misi & objektif LKIM.
Tindakan susulan yang dibuat oleh LKIM ini patut diberi pujian dan bolehlah dijadikan sebagai satu penanda aras kepada Persatuan-persatuan Nelayan sama ada bergerak sejajar melaksanakan pekeliling-pekeliling daripada LKIM ke arah persatuan yang berdaya maju.

Berikut adalah senarai perkara-perkara berbangkit dan tindakan susulan LKIM dalam Laporan Ketua Audit Negara 2008:

  • PERKARA BERBANGKIT DAN SYOR AUDIT
    Norma agihan sumber manusia perlu diwujudkan dan faktor seperti bilangan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK), bilangan nelayan, jumlah pendaratan serta saiz negeri dijadikan asas untuk menentukan beban kerja di LKIM Negeri.
    TINDAKAN SUSULAN
    Pihak Pengurusan LKIM telah mendapat kelulusan
    penyusunan semula struktur organisasi daripada Jabatan
    Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kewangan pada
    bulan Mac 2009.
    PANDANGAN AUDIT
    Pihak Audit berpuas hati dengan tindakan yang diambil.

  • PERKARA BERBANGKIT DAN SYOR AUDIT
    Satu langkah kawalan berkesan perlu diwujudkan supaya urus niaga jualan harian dan bekalan dipantau serta dikemas kini secara berkala.
    TINDAKAN SUSULAN
    LKIM dan pihak vendor Skim Subsidi Diesel Nelayan dalam
    tindakan menaik taraf portal e-Nelayan Management System
    (Enhancement) bagi tujuan memaksimumkan penggunaan, menstabilkan dan mengekalkan penggunaan sistem serta meningkatkan sekuriti dalam portal. Proses menaik taraf portal e-Nelayan telah bermula pada 11 November 2008 hingga 11 Februari 2009.
    PANDANGAN AUDIT
    Pihak Audit berpuas hati dengan tindakan yang diambil.
  • PERKARA BERBANGKIT DAN SYOR AUDIT
    Fungsi log-off secara automatik perlu diwujudkan untuk memastikan alat tersebut tidak disalah guna.

TINDAKAN SUSULAN

Pihak LKIM telah mengadakan Mesyuarat Pengurusan Sistem e-Nelayan bilangan 1/2008 bertarikh 8 Oktober 2008 dan mengarahkan pihak IRIS selaku pembangun dan pengeluar perkakasan serta perisian bagi Personal Digital Assistant (PDA) model ST4eX. Perisian ini telah dikemas kini dan PDA telah dilengkapi dengan sistem kawalan log-off secara automatik. Perisian ini telah siap dibangunkan dan dalam proses pengujian.

Pihak LKIM telah mengambil tindakan dengan mengadakan beberapa lawatan berkala di setiap negeri untuk memeriksa rekod penggunaan PDA di pusat jualan minyak diesel bersubsidi. Ia juga disusuli dengan beberapa siri pemantauan Jawatankuasa Pemantauan Sistem e- Nelayan (eNMS).

PANDANGAN AUDIT

Pihak Audit berpuas hati dengan tindakan yang diambil.

(Susulan laporan pemeriksaan Ketua Audit Negara akan bersambung dengan bahagian II dan bahagian III.)

No comments:

Post a Comment