13 May 2009

Siapakah Yang Bakal Memimpin Persatuan Nelayan Kunak?


Barisan ALP Penggal Lalu


Pemilihan ALP yang lalu menyaksikan 3 lagi perubahan dalam barisan ALP Persatuan Nelayan Kawasan Kunak. Semua ahli persatuan amat mengharapkan barisan ALP baru akan membawa PNK Kunak ke satu tahap yang boleh dibanggakan. Antara muka baru dalam barisan ALP ialah En. Kalsid dari Pangkalan, Puan. Maimunah dari Sungai Atas dan En. Zainuddin dari Kunak 3. Sungguhpun En. Zainuddin pernah memegang jawatan ALP sebelumnya tetapi pada penggal lalu beliau tidak berjaya tersenarai dalam 10 senarai teratas.

Kenapa beliau kembali diberi kepercayaan? Apakah yang telah berlaku dalam PNK penggal lalu sehinggakan calon ini dipilih semula oleh semua ahli dengan majoriti tertinggi pula? Adakah kelantangan beliau semasa membela hak ahli dahulunya mula dirindui kembali ataupun kehadiran beliau dalam barisan ALP hanya untuk memeriahkan keadaan?

Senarai 10 ALP sudah pun ditentukan namun apa yang menjadi persoalannya siapakah yang akan menjadi peneraju ALP? Bermacam-macam spekulasi dan kesimpulan dibuat oleh ahli-ahli tentang bakal pemimpin ini. Lain kampung maka lain pula lah pilihan mereka. Apa yang penting biarlah 10 ALP ini yang membuat penilaian siapakah yang terbaik. Mungkinkah faktor AMANAH DAN BERSIH mereka letakkan sebagai syarat pertama ataupun kepentingan peribadi mengatasi segala-galanya?

Bermacam-macam faktor yang boleh mempengaruhi undian ALP untuk jawatan pengerusi ini. Namun begitu, kita harus sedar siapakah orang-orang yang "DIHALALKAN" untuk mempengaruhi keputusan mereka ini. Sudah semestinya semua ahli PNK. Bukannya taukeh-taukeh, bukannya kontraktor-kontraktor juga bukannya pihak pengurusan LKIM sendiri yang tidak dibenarkan menjadi ahli PNK. Sejauhmana penglibatan pihak-pihak ini.. Allahualam..

Ingatkah kita tentang slogan "Ahli Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan" dalam MAT lalu.

Sekiranya tiada perubahan dalam penerajuan kepimpinan PNK, maka berani saya katakan slogan ALP yang akan membawa perubahan dalam kepimpinan sebelum pemilihan lalu hanyalah "pancingan undi" dan ketidakjujuran dalam perjuangan amat ketara. "Cakap tak serupa bikin". Kata- kata rakan saya ini boleh lah kita kongsikan di sini.

Oleh itu, kepada semua ahli PNK sedarlah sekiranya anda tidak berupaya menjadi pengerusi mahupun ALP, gunakanlah sehari dalam setahun yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persatuan Nelayan untuk membela nasib kita, hak-hak kita dan juga peranan kita. Hari yang saya maksudkan itu adalah "MESYUARAT AGUNG TAHUNAN".

1 comment:

  1. Nelayan memerlukan pemimpin PNK yang akan menyelesaikan masalah dan memberi manfaat kepada nelayan seperti menyediakan penyewaan lori sejuk beku yang murah dan professional untuk menghantar hasil laut ke tempat-tempat lain.

    ReplyDelete