13 May 2009

Siapakah Yang Bakal Memimpin Persatuan Nelayan Kunak?


Barisan ALP Penggal Lalu


Pemilihan ALP yang lalu menyaksikan 3 lagi perubahan dalam barisan ALP Persatuan Nelayan Kawasan Kunak. Semua ahli persatuan amat mengharapkan barisan ALP baru akan membawa PNK Kunak ke satu tahap yang boleh dibanggakan. Antara muka baru dalam barisan ALP ialah En. Kalsid dari Pangkalan, Puan. Maimunah dari Sungai Atas dan En. Zainuddin dari Kunak 3. Sungguhpun En. Zainuddin pernah memegang jawatan ALP sebelumnya tetapi pada penggal lalu beliau tidak berjaya tersenarai dalam 10 senarai teratas.

Kenapa beliau kembali diberi kepercayaan? Apakah yang telah berlaku dalam PNK penggal lalu sehinggakan calon ini dipilih semula oleh semua ahli dengan majoriti tertinggi pula? Adakah kelantangan beliau semasa membela hak ahli dahulunya mula dirindui kembali ataupun kehadiran beliau dalam barisan ALP hanya untuk memeriahkan keadaan?

Senarai 10 ALP sudah pun ditentukan namun apa yang menjadi persoalannya siapakah yang akan menjadi peneraju ALP? Bermacam-macam spekulasi dan kesimpulan dibuat oleh ahli-ahli tentang bakal pemimpin ini. Lain kampung maka lain pula lah pilihan mereka. Apa yang penting biarlah 10 ALP ini yang membuat penilaian siapakah yang terbaik. Mungkinkah faktor AMANAH DAN BERSIH mereka letakkan sebagai syarat pertama ataupun kepentingan peribadi mengatasi segala-galanya?

Bermacam-macam faktor yang boleh mempengaruhi undian ALP untuk jawatan pengerusi ini. Namun begitu, kita harus sedar siapakah orang-orang yang "DIHALALKAN" untuk mempengaruhi keputusan mereka ini. Sudah semestinya semua ahli PNK. Bukannya taukeh-taukeh, bukannya kontraktor-kontraktor juga bukannya pihak pengurusan LKIM sendiri yang tidak dibenarkan menjadi ahli PNK. Sejauhmana penglibatan pihak-pihak ini.. Allahualam..

Ingatkah kita tentang slogan "Ahli Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan" dalam MAT lalu.

Sekiranya tiada perubahan dalam penerajuan kepimpinan PNK, maka berani saya katakan slogan ALP yang akan membawa perubahan dalam kepimpinan sebelum pemilihan lalu hanyalah "pancingan undi" dan ketidakjujuran dalam perjuangan amat ketara. "Cakap tak serupa bikin". Kata- kata rakan saya ini boleh lah kita kongsikan di sini.

Oleh itu, kepada semua ahli PNK sedarlah sekiranya anda tidak berupaya menjadi pengerusi mahupun ALP, gunakanlah sehari dalam setahun yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persatuan Nelayan untuk membela nasib kita, hak-hak kita dan juga peranan kita. Hari yang saya maksudkan itu adalah "MESYUARAT AGUNG TAHUNAN".

06 May 2009

HARI MESYUARAT AGUNG PERSATUAN NELAYAN KAWASAN KUNAK 2009


Pada 2hb Mei 2009, Seawal 7 pagi kami tiba di perkarangan Dewan Sri Kunak untuk menghadiri mesyuarat Agung Persatuan Nelayan Kawasan Kunak. Keadaan di luar dewan amat memeranjatkan dan diluar dugaan. Ahli-ahli persatuan amat komitted menghadiri mesyuarat ini dan tahniah kepada pihak pengurusan kerana dapat menyerapkan kesedaran kepada ahli bertapa pentingnya mesyuarat agung yang akan menentukan halatuju persatuan pada masa akan datang. Mesyuarat agung diletakkan di atas semua hirarki dalam sesuatu persatuan di mana ia mampu menentukan hala tuju dan prestasi persatuan.

"Kuasa Tertinggi di dalam Struktur Organisasi atau Institusi Nelayan (Persatuan Nelayan) ini ialah Mesyuarat Agung. Di dalam majlis ini semua ahli-ahli atau wakil-wakil ahli berkumpul dan berjumpa sekurang-kurangnya sekali dalam setahun bagi tujuan berbincang, bertukar-tukar fikiran serta pendapat, merancang, menilai dan meneliti akan prestasi serta perkembangan Persatuan Nelayan itu, disamping menentukan arahtuju dan matlamat organisasi yang dianggotainya" Petikan daripada Undang-Undang Persatuan Nelayan.

Ketibaan Y.B. En Nilwan Bin Kabang yang agak awal daripada yang dicetak dalam tentatif program sedikit sebanyak menjadikan program kelam-kabut sedikit. Ini memandangkan Yang Berhormat akan bergegas ke Semporna untuk menghadiri pertemuan dengan Ketua Menteri. Dengan kecekalan pihak pengurusan masalah-masalah yang timbul dapat diselesaikan.

Bersambung ........

03 May 2009

MENJELANG MESYUARAT AGUNG TAHUNAN 2009 PERSATUAN NELAYAN KAWASAN KUNAK KALI KE-3


"ALA PILIHAN RAYA UMUM"

Itulah perkataan yang dapat saya gambarkan tentang mesyuarat tahunan kali ini. Bukan sahaja pembentangan agenda-agenda mesyuarat malahan pemilihan Ahli Lembaga pengarah turut dijalankan serentak.


Pemilihan menawarkan 10 kerusi lembaga pengarah dan sebanyak 26 calon bersaing untuk merebut jawatan tersebut. Apa yang menarik adalah kempen-kempen kali ini berjalan dengan begitu aman dan harmoni. Majoriti calon-calon berganding bahu mengadakan acara di setiap kampung nelayan kawasan Kunak. Susun atur program kempen begitu "spoting" dengan memberi peluang kepada semua calon yang hadir untuk berucap dengan syarat tidak memburuk-burukkan pihak yang lain.

Pada 30/4/2009, Pukul 7.00 pm, saya bersama seorang calon ALP ditemani abang saya menghadiri kempen bersama semua ALP di Kunak 3. Malangnya hanya 10 orang calon dapat menghadirkan diri yang lain mungkin ada agenda tersendiri. Bekas pengerusi ALP En. Isnan turut hadir. Alhamdurillah.. hampir semua ucapan tidak menyentuh atau memburuk-buruk calon lain namun apa yang menyedihkan bekas pengerusi ada menyatakan bahawa dia ada mengarahkan ALP Majid untuk mengenalpasti nelayan miskin tegar tetapi tiada seorang pun yang tampil ke pejabat PNK meminta bantuan. Ini membawa maksud seolah-olah ALP Majid tidak menjalankan tanggungjawab beliau dengan baik. Sejauh mana kebenarannya?