12 August 2009

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlu Bantu Golongan Rakyat Miskin Tegar Untuk Membanteras Gejalah Rasuah Dan Penyelewengan.


Sejajar dengan seruan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri 1Malaysia "rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan", SPRM kini begitu aktif membela rakyat yang memerlukan pembelaan. Kewujudan SPRM yang diilhamkan oleh Y.A.B. Tun Abdullah Ahmad Badawi telah membuka minda rakyat bahawa kerajaan begitu komited membanteras gejalah rasuah dan pecah amanah yang selama ini dipertikaikan oleh pihak pembangkang.


Sering kali kerajaan perkenalkan pelbagai pendekatan baharu untuk menurunkan kadar kemiskinan tegar di kalangan rakyat dengan peruntukan yang begitu besar. Namun begitu, adakah kita telah berpuas hati dengan pencapaian ini? Betulkah tahap pencapaian ini yang dimaksudkan "Diutamakan" setimpal dengan belanjawan kerajaan? Ataupun masih boleh dipertingkatkan dengan kajian-kajian terperinci terhadap struktur golongan masyarakat yang lebih dikenali sebagai "target group" ini?


Jika kita membuat kajian, di Daerah Kunak misalnya, kita akan mendapati pekerjaan utama rakyat miskin tegar adalah sebagai nelayan. Dengan maklumat seperti ini kerajaan akan dapat membuat pelan tindakan yang lebih berkesan. Sebagai contoh, Dana Nelayan daripada LKIM yang mengenakan kadar keuntungan 2% setahun merupakan pinjaman yang tidak dapat ditandingi mana-mana kadar keuntungan pada masa ini.


Bagaimana pula peranan SPRM untuk membantu rakyat miskin tegar khususnya masyarakat nelayan? Perlu diingat dan diberi perhatian golongan nelayan ini bukan sahaja miskin malahan tidak berpendidikan tinggi. Justeru itu, kita tidak dapat nafikan, mereka berkemungkinan besar akan menjadi mangsa utama orang-orang yang tidak bertanggungjawab. Masyarakat nelayan ini tidak akan dapat membela diri dan hak-hak mereka kerana mungkin tidak menyedari yang mereka sedang dianiaya.


Untuk merealisasikan hasrat kerajaan untuk membasmi kemiskinan tegar, SPRM harus mengambil langkah proaktif dengan memantau semua agensi-agensi pelaksana yang sepatutnya diamanahkan untuk membantu rakyat nelayan. SPRM mestilah mengambil kaedah turun padang atau "reaching out" untuk golongan ini dan tidak sahaja menunggu dan mengharapkan nelayan ini tampil membuat laporan ke pejabat.


Semoga SPRM akan dapat mengembalikan kepercayaan rakyat tentang kesungguhan dan integriti SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA.

No comments:

Post a Comment