22 August 2009

NELAYAN KUNAK SUKAR DARAT IKAN


13 Julai 2009 (Isnin) Sabah&Sarawak: Nelayan Kunak sukar darat ikan
Oleh Hassan Omar hassanomar@bharian.com.my


Kegiatan nelayan beralih ke tebing konkrit sejak jeti runtuh tiga bulan KUNAK: Selepas berpuluh tahun membantu menghasilkan sumber perikanan di Sabah, nelayan di sini masih bergelut dengan masalah pendaratan ikan secara sempurna berikutan ketiadaan jeti yang benar-benar memenuhi keperluan itu. Industri perikanan yang berkembang pesat di daerah ini khususnya dan Pantai Timur Sabah amnya sejak beberapa tahun lalu seolah-olah tidak disokong dengan penyediaan jeti sempurna bagi membolehkan nelayan mendaratkan ikan, ketam, sotong dan pelbagai hasil laut yang lain.


Walaupun Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) ada menyediakan jeti diperbuat daripada papan di Pasar Ikan Kunak, ia tidak mampu menampung keperluan semasa, apatah lagi akan datang. Kesukaran nelayan mendaratkan hasil laut semakin getir berikutan jeti berkenaan runtuh tiga bulan lalu, sekali gus menyebabkan nelayan tidak mempunyai pilihan, selain terpaksa menggunakan tebing konkrit milik Majlis Daerah Kunak di Kampung Pangkalan untuk mendaratkan hasil laut. Sehubungan itu, Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kunak merayu LKIM menyediakan jeti pendaratan ikan lebih sempurna berbanding sedia ada, bukan setakat memudahkan nelayan mendaratkan hasil tangkapan, malah memajukan industri perikanan di negeri ini.


Pengerusinya, Asiah Hamid menjelaskan, 769 ahli PNK Kunak merayu LKIM membantu menyediakan jeti berkenaan berikutan jeti sedia ada yang disifatkannya kecil dan tidak kukuh, tidak mampu menampung bot laut dalam, bot besar dan kecil serta perahu yang membawa hasil tangkapan. "Daripada keseluruhan ahli itu, kebanyakannya adalah pemilik bot laut dalam, bot besar dan perahu. Antara peralatan digunakan untuk menangkap ikan adalah pukat jerut, pukat tunda, bagang (kelong) dan pukat hanyut. Ada juga yang memancing. "Selain jeti yang sudah runtuh itu, ada juga jeti milik swasta di Pangi. Jeti itu tidak boleh digunakan ahli PNK Kunak kerana ia adalah milik pemilik persendirian yang hanya dikhususkan untuk bot mereka," katanya kepada Berita Harian, di sini semalam.


Beliau menjelaskan, nelayan terpaksa menghadapi kesukaran menghampiri tebing konkrit berkenaan yang tidak dilengkapi kemudahan untuk bot berlabuh seperti tayar penahan bot, selain mesin penarik bakul yang dimuatkan dengan ikan, udang dan seumpamanya. Asiah berkata, PNK Kunak difahamkan, LKIM bercadang menyediakan peruntukan untuk membaiki jeti yang sudah runtuh itu tetapi ia tidak mungkin mampu menampung keperluan semasa dan akan datang. Beliau berkata, PNK Kunak sudah berbincang dengan LKIM mengenai permohonan berkenaan tetapi belum ada keputusan muktamad, setakat ini.


Sementara itu, Pengurus Besar PNK Kunak, Mohd Daud Mohd Alueh, berkata pembinaan jeti baru amat diperlukan berdasarkan peningkatan jumlah hasil laut yang didaratkan di jeti Kampung Pangkalan. "Sebanyak 9.134 juta kilogram (kg) atau kira-kira 9,000 tan metrik ikan didaratkan di jeti Kampung Pangkalan dari 1 Ogos 2008 hingga 6 Julai lalu. "Jumlah ini tidak termasuk ikan yang didaratkan di jeti milik swasta di Pangi. Ini membuktikan jeti baru amat diperlukan bagi memastikan industri perikanan di daerah ini terus berkembang," katanya.


Sementara itu, Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Kunak, Halid Haron, berkata Pejabat PKR Dewan Undangan Negeri (DUN) Kunak bersikap terbuka mengenai lokasi pembinaan jeti berkenaan sama ada kekal di Kampung Pangkalan atau di lokasi lain. Ini kerana, katanya, jalan masuk ke Kampung Pangkalan tidak ada laluan keluar yang menyebabkan lori mengangkut ikan dan kenderaan individu terpaksa membuat pusingan di kawasan tempat letak kenderaan berhampiran jeti Kampung Pangkalan. Sehubungan itu, katanya, Pejabat PKR memohon LKIM supaya meneliti masalah nelayan terbabit dan membantu mengatasinya dengan menyediakan jeti baru yang lebih sempurna.

1 comment:

  1. LKIM harus menyediakan jeti yang betul-betul berfungsi untuk nelayan-nelayan sebelum hasil laut dapat dihantar ke tempat-tempat lain dengan lori sejuk beku. Semoga nelayan-nelayan dapat mendaratkan hasil laut mereka dengan selamat.

    ReplyDelete