22 August 2009

Ko-Nelayan Sabah Serah Bantuan RM10,000 Kepada Nelayan Miskin

TAWAU, 23 Julai (Bernama) -- Koperasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (Ko-Nelayan) pada Khamis menyerahkan bantuan peralatan perikanan kepada 12 keluarga miskin tegar sebagai salah satu usahanya untuk membantu meningkatkan pendapatan golongan itu.

Penyerahan bantuan di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) melalui Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Nelayan membabitkan pemberian bot dan enjin sangkut bernilai kira-kira RM10,000 itu disempurkan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sebatik Abdul Muis Picho.

Abdul Muis dalam ucapannya pada majlis itu mengingatkan semua penerima supaya memanfaatkan sepenuhnya bantuan kerajaan dengan berusaha bersungguh-sungguh meningkatkan tangkapan seterusnya memperbaiki taraf ekonomi keluarga masing-masing.

"Apa jua bantuan yang dihulurkan kerajaan tentunya tidak akan bermakna sekiranya rakyat sendiri tidak memanfaatkan bantuan tersebut untuk mengubah nasib dan kehidupan mereka sendiri," katanya.

Katanya bantuan berkenaan juga membuktikan bahawa kerajaan tidak pernah mengabaikan nasib golongan miskin tegar terutama di kawasan luar bandar, apa lagi untuk meminggirkan mereka.

Sementara itu Abdul Muis meminta pihak berkuasa supaya mengetatkan kawalan bagi menghalang bot-bot pukat tunda menangkap ikan di kawasan perairan Pulau Sebatik kerana ia boleh menjejaskan pendapatan nelayan tradisi.

"Mereka (pengusaha bot-bot pukan tunda) ini merosakkan sumber hidupan marin di kawasan terlibat. Saya harap pihak berkuasa dapt membanyakkan operasi dan bertindak tegas terhadap bot-bot berkenaan," katanya.

Beliau seterusnya turut menyampaikan penghargaannya kepada Pasukan Gerak Marin (PGM) Tawau terhadap kejayaan pasukan itu menahan 10 bot pukat tunda yang beroperasi di muara Sungai Barantian awal bulan ini kerana menangkap udang di kawasan larangan.-- BERNAMA

1 comment:

  1. Saya ingin mencadangkan kerajaan member subsidi sewa lori sejuk beku kepada nelayan untuk menghantar hasil mereka ke destinasi masing-masing. Ini dapat meringankan beban nelayangyang miskin.

    ReplyDelete