13 June 2009

Ramai Nelayan Tipu LKIM Insentif Sara Hidup

PAPAR 22 Nov. - Sebilangan besar daripada 32,000 nelayan yang menerima insentif sara hidup RM200 dikesan cuba menipu Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dengan mengemukakan permohonan berulang dengan menggunakan nama ahli keluarga.

Pengerusi LKIM, Datuk Abdul Rahim Ismail berkata, pihaknya kesal dan memandang serius perbuatan tersebut dan akan menjalankan siasatan dalam masa terdekat.

"Seramai 25,000 orang yang mendapat insentif itu adalah pemilik bot dan 7,000 lagi adalah awak-awak. "Kita hairan mengapa pendaftaran awak- awak ini begitu sedikit sedangkan mereka juga layak berbuat demikian.

"LKIM akan melakukan siasatan kerana kita dapati lebih kurang dua pertiga daripada pemilik-pemilik bot ini memohon semula tetapi dengan menggunakan nama anak dan isteri mereka," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kompleks Mini Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Papar di Kampung Laut di sini hari ini.

Katanya, insentif berkenaan bertujuan membantu nelayan di seluruh negara dan di Sabah sehingga pertengahan tahun ini, hanya 2,000 orang yang sudah berdaftar. Abdul Rahim berkata, jumlah nelayan di seluruh negara yang layak menerima insentif itu ialah 80,000 orang dan kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM180 juta setahun.

"Ini bermakna, setiap bulan lebih RM14 juta diberikan kepada golongan nelayan khusus untuk membantu mereka," katanya.

Terdahulu ketika berucap, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Manis berkata, taraf hidup nelayan di Sabah masih jauh ketinggalan berbeza dengan nelayan di Semenanjung atau Sarawak.

Katanya, taraf hidup nelayan di negeri ini akan mengalami perubahan dalam beberapa tahun akan datang setelah lebih hampir 60 tahun hidup bergelumang dengan kemiskinan.

Sementara itu, Pengarah LKIM Sabah, Zainal Md. Ali meminta nelayan di negeri ini supaya menceburkan diri dalam bidang perusahaan rumpai laut kerana pendapatannya yang lumayan.

Katanya, kerajaan memperuntukkan pinjaman sebanyak RM220 juta bagi nelayan yang ingin mengusahakan rumpai laut dan setakat ini perusahaan itu dilakukan di beberapa daerah sahaja.

No comments:

Post a Comment